comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong sebak, zahir penghargaan dan terima kasih kepada rakyat

FOTO: Ihsan Jabatan Penerangan Malaysia

KUALA LUMPUR: Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah supaya institusi Yang di-Pertuan Agong di negara ini terus dipelihara dan dipertahan pada setiap masa.

Baginda bertitah sekiranya institusi itu bercanggah daripada fungsi dan sifat kewujudannya maka kerajaan akan menjadi lemah manakala negara porak-peranda.

Al-Sultan Abdullah bertitah selain itu, institusi Yang di-Pertuan Agong adalah pelindung terakhir kepada kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara.

“Maka tatanglah institusi ini bagaikan minyak yang penuh. Martabatkan institusi ini dan jangan sekali-kali mencemari ia dengan nista dan dusta,” titah Seri Paduka pada Majlis Jamuan Negara sempena tamat pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16 di sebuah hotel di sini malam ini.

Baginda turut sebak sehingga menitiskan air mata ketika bertitah menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang sudi menerima kehadiran Seri Paduka dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

“Lumrah dunia, setiap yang bermula pasti akan berakhir dan setiap pertemuan pasti
akan ada perpisahan. Justeru, sudah sampai masanya untuk saya dan Raja Permaisuri Agong mengundur diri.

“Saya akan berangkat pulang ke Pahang
 dengan satu perasaan yang sedih dan gembira dan bersyukur kerana amanah ini telah saya laksanakan dengan sepenuh kudrat keupayaan dan keikhlasan hati saya.

“Persoalan sama ada saya berjaya ataupun
 tidak bukanlah saya untuk membuat penilaian diri sendiri. Biarlah helaian sejarah yang menjadi bukti,” titah Seri Paduka pada majlis itu.

Berangkat sama pada majlis itu Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, serta barisan Jemaah Menteri. – BERNAMA

Loading...
Terkini