comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong terima menghadap Menteri Luar Singapura

Al-Sultan Abdullah bertemu Dr Vivian Balakrishnan di Istana Negara, hari ini. – FOTO: Istana Negara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima menghadap Menteri Luar Singapura, Dr Vivian Balakrishnan di Istana Negara, di sini, hari ini.

Sesi menghadap bermula kira-kira jam 2.20 petang itu disertai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Turut hadir, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia, Vanu Gopala Menon, Setiausaha Tetap Kementerian Luar Singapura, Albert Chua dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin.

FOTO: Istana Negara

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Zahari Mohd Ariffin, berkata sesi menghadap yang berlangsung hampir 30 minit itu sebahagian daripada program sempena lawatan rasmi Balakrishnan ke Malaysia selama empat hari bermula semalam.

“Pada sesi menghadap itu, kedua-dua pemimpin menyentuh soal pengukuhan hubungan dua hala istimewa yang terjalin erat sejak sekian lama antara Malaysia dan Singapura,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Oktober lalu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat melakukan lawatan negara ke Singapura selama empat hari, bermula 25 Oktober 2022.

Dalam rangka lawatan negara itu, baginda berdua melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob, selain menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isteri, Ho Ching.

Pada 2022, Singapura menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan terbesar dalam ASEAN dengan jumlah dagangan sebanyak RM336.73 bilion (AS$76.40 bilion), peningkatan sebanyak 30.8 peratus, berbanding nilai direkodkan pada 2021. – BERNAMA

Loading...
Terkini