comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong Terima Menghadap Perdana Menteri, Menteri Singapura

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena lawatan negara baginda ke republik itu selama empat hari, bermula semalam. Turut berangkat, Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

SINGAPURA: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan empat menterinya, sempena lawatan negara ke republik itu.

Turut berangkat ialah Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan dihadiri isteri Perdana Menteri Singapura, Ho Ching.

Menteri Singapura yang hadir pada sesi menghadap itu ialah Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan; Menteri Pendidikan, Chan Chun Sing; Menteri Pembangunan Negara, Desmond Lee dan Menteri Pengangkutan, S Iswaran.

Keberangkatan Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong ke sesi menghadap itu diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin dan Ketua Setiausaha Pengangkutan, Datuk Isham Ishak.

Usai sesi menghadap yang berlangsung kira-kira setengah jam itu, Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Azizah berkenan berangkat ke Majlis Santapan Tengah Hari, yang dihoskan oleh Hsien Loong dan isteri.

Baginda dan Raja Permaisuri Agong tiba di Singapura, semalam bagi mengadakan lawatan negara ke negara jiran terdekat Malaysia itu sehingga Jumaat ini.

Lawatan negara ke Singapura itu mencerminkan hubungan dua hala yang rapat serta istimewa antara Malaysia dan Singapura, sejak 57 tahun lalu.

Pada sebelah petang hari ini, Seri Paduka berdua dijadualkan berangkat ke Majlis Sambutan Negara di istana serta akan melakukan pertemuan dengan Presiden Singapura, Halimah Yacob disusuli Majlis Santapan Negara.-BERNAMA

Loading...
Terkini