KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim hari ini menerima watikah pelantikan sembilan ketua perwakilan asing ke Malaysia di Istana Negara di sini.
Ketua perwakilan asing ke Malaysia yang baru dilantik ialah Duta Besar Laos, Thepthavone Sengmany; Duta Besar Sweden, Niklas Wiberg; Duta Besar Finland, Anne Vasara dan Duta Besar Denmark, Kirstine Vangkilde Berner.
Selain itu, Duta Besar Republik Persekutuan Somalia, Ali Mohamed Abukar; Duta Besar Kesatuan Eropah, Rafael Daerr; Pesuruhjaya Tinggi Kanada, Jodi Robinson; Duta Besar Argentina, Marta Laura Gabrieloni dan Pesuruhjaya Tinggi Papua, New Guinea Jimmy Ovia.
Sultan Ibrahim turut mengurniakan watikah pelantikan kepada Duta Besar Malaysia ke Algeria, Rizany Irwan Muhamad Mazlan dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke Kanada, Datuk Dr Shazelina Zainul Abidin.
Hadir sama pada majlis itu, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar, Datuk Ahmad Rozian Abd Ghani dan Ketua Protokol Wisma Putra, Datuk Yubazlan Yusof. – BERNAMA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.