Oleh: Fareez Azman
PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).
Seri Paduka Baginda memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan berkaitan rumah amal berkenaan.
“Yang di-Pertuan Agong menitahkan polis menjalankan siasatan segera dan menyeluruh dan memandang serius perkara itu selepas pelbagai berita dilaporkan serta disiarkan di dalam media massa berkaitan rumah amal berkenaan,” titah Sultan Ibrahim di laman Facebook rasminya hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah, perkara berkaitan akidah umat Islam seharusnya dipelihara pada setiap masa dan tidak boleh dipandang ringan.
Justeru Sultan Ibrahim, bertitah menasihatkan semua pihak tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau pandangan yang melampau berkaitan isu agama kerana ia amat sensitif dan mesti ditangani dengan berhati-hati.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.