comscore
Tumpuan :
Nasional

Agong zahir takziah mangsa meninggal akibat COVID-19

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan takziah kepada ahli keluarga dua mangsa yang meninggal dunia akibat jangkitan COVID-19, semalam.

Dalam masa sama, Al-Sultan Abdullah menzahirkan harapan agar rakyat Malaysia akan terus berdoa bersama Baginda memohon ihsan Allah S.W.T supaya usaha membendung wabak COVID-19 dirahmati dan diberkati, serta situasi dapat ditangani dan berakhir dengan segera.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin, dalam satu kenyataan memaklumkan Al-Sultan Abdullah berkenan meluangkan masa berangkat melawat Pusat Kesiapsiagaan dan Respon Krisis (CPRC) Kebangsaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selepas Mesyuarat Pra-Kabinet bersama Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Istana Melawati, Putrajaya.

“Di CPRC, Al-Sultan Abdullah diberi sembah taklimat berkenaan operasi pemantauan, pengumpulan dan perkongsian maklumat berkenaan wabak COVID-19.

“Sebagai maklum balas, Yang di-Pertuan Agong turut menzahirkan bahawa Baginda telah berbincang dengan Perdana Menteri semasa sesi Mesyuarat Pra-Kabinet berhubung status bekalan perubatan dan disembah maklum bahawa peruntukan akan disediakan mengikut keperluan perubatan semasa,” katanya, hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua petugas di KKM dana agensi-agensi Kerajaan yang berkait, khususnya para petugas di barisan hadapan yang telah bekerja dengan semangat yang tinggi dan tanpa mengira penat lelah.

Terdahulu, Baginda berkenan menerima menghadap Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk Mesyuarat Pra-Kabinet di Istana Melawati.

Mesyuarat Pra-Kabinet itu adalah sesi julung kali Al-Sultan Abdullah bersama Tan Sri Muhyiddin semenjak beliau mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 1 Mac lalu.

Ahmad Fadil memaklumkan mesyuarat berkenaan berlangsung selama lebih 45 minit di Istana Melawati, Putrajaya, mulai jam 8 pagi.

“Mesyuarat Pra-Kabinet ialah antara aktiviti mingguan atau rutin utama Yang di-Pertuan Agong untuk berbincang dan bertukar pendapat mengenai isu semasa bersama Perdana Menteri.

“Pada tahun lalu, Al-Sultan Abdullah telah berkenan berangkat menghadiri sejumlah 36 Mesyuarat Pra-Kabinet. Manakala pada tahun ini (sehingga 12 Februari) sejumlah 6 mesyuarat Pra-Kabinet,” katanya.

Loading...
Terkini