comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahad diisytihar sebagai Hari Batik di Terengganu

Razali (dua kanan) melihat baju batik dipamerkan selepas merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024, di Dataran Shah Bandar, semalam. – FOTO: NSTP

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengisytiharkan setiap Ahad sebagai hari batik di seluruh negeri itu.

Justeru itu, semua penjawat awam di negeri ini digalak berpakaian batik setiap Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, kerajaan juga turut bersetuju mengekalkan keputusan mewajibkan semua penjawat awam di negeri ini memakai batik setiap Khamis.

Bagaimanapun, katanya, semua penjawat awam adalah tertakluk kepada garis panduan etika pemakaian penjawat awam dikeluarkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri (Bahagian Sumber Manusia).

“Batik adalah pakaian tidak asing dengan identiti negeri apabila ianya cukup sinonim dengan masyarakat di negeri ini.

“Bagi meneruskan sokongan kerajaan kepada industri batik di negeri ini, kerajaan bersetuju mengisytiharkan setiap Ahad adalah hari batik di negeri ini,” katanya kepada media, di sini, semalam.

Terdahulu, Razali yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Kijal mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Karnival Beautiful Terengganu Malaysia (KBTM) 2024, di Dataran Shah Bandar, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pengurusan), Ab Rasid Jusoh, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shahruddin Abu Sohot dan Pengarah Jabatan Pelancongan negeri, Ahmad Ridzwan Abd Rahman.

Razali berkata, pemakaian batik pada Ahad adalah antara inisiatif kerajaan mempromosikan kepada penghasilan batik yang juga produk bermutu tinggi dan berkualiti bagi membantu menjana ekonomi setempat.

“Kerajaan berharap pemakaian batik pada Ahad bukan sahaja membabitkan penjawat awam, tetapi pengusaha dan peniaga terutama di Pasar Kedai Payang,” katanya.

Mengulas mengenai lambakan batik dari luar negara termasuk Pakistan, India dan negara jiran serta Indonesia yang dijual lebih murah daripada batik tempatan, Razali berkata, kerajaan pusat diminta menaikkan kadar cukai import seni kraf tangan tradisi itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini