comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli GPS jangan alpa, gandakan usaha dekati rakyat kata Fadillah

SIBU: Semua ahli dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) diingatkan untuk sentiasa berwaspada dengan gerakan yang dilaksanakan parti-parti pembangkang di peringkat negeri dalam mendekati rakyat

Ini kerana walaupun parti-parti terbabit bersama-sama GPS untuk membentuk kerajaan persekutuan namun mereka masih lagi parti pembangkang di peringkat negeri.

Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, ketika ini semangat ahli dalam parti pembangkang terbabit berada di puncaknya selepas ketua mereka menyandang tampuk pemerintahan tertinggi negara.

Justeru, tegas beliau, kepimpinan GPS khususnya di peringkat akar umbi perlu mengatur gerak kerja yang lebih komprehensif dalam mendekati rakyat.

“Jangan kita alpa walaupun kita di peringkat persekutuan kita dihormati, kita diterima tetapi di peringkat negeri yang kita tidak nampak ialah gerakkan parti politik yang tidak sefahaman ataupun seiring dengan GPS ini.

“Jadi sebab itulah kita kena sentiasa merapati peringkat akar umbi untuk mengingatkan mereka bahawa perjuangan yang kita dapat ini adalah hasil daripada usaha GPS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam bersama Ahli serta kepimpinan GPS di Sibu.

Menurut Datuk Seri Fadilah, situasi yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu perlu dijadikan iktibar oleh setiap ahli serta Pimpinan GPS untuk terus menggandakan usaha mendekati rakyat.

Ia bagi memastikan parti itu yang membentuk kerajaan Negeri Sarawak ketika terus kekal relevan dalam memperjuangkan hak serta membangunkan negeri berkenaan.

Loading...
Terkini