
KUCHING: Barisan pengurusan tertinggi Lembaga Dana Kekayaan Masa Depan Berdaulat Sarawak akan diumumkan dalam masa terdekat.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata senarai nama itu sudah diperhalusi dan akan dimuktamadkan sebelum diumumkan.
Tambahnya, sebagai sebuah institusi korporat, pembentukan organisasi pengurusan dan penjagaan dana kekayaan masa depan Sarawak itu perlu dilaksanakan dengan teliti.
Justeru katanya, beliau juga perlu teliti dalam mendedahkan sebarang maklumat berhubung dana kekayaan berdaulat itu.
“Saya tidak boleh bagi ‘off the record’ kerana tidak mahu tersalah cakap atau anda tersilap lapor.
Memang kita sudah membentuk lembaga pengurusan dana itu dan saya (akan) umumkan pada sidang media khas, dalam masa terdekat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Sambutan Ulangtahun Ke-5 Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) di sini, malam tadi.
Turut hadir, Timbalan Premier, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar dan Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Rang undang-undang (RUU) dana kekayaan berdaulat dengan peruntukan awal RM8 bilion
diluluskan DUN Sarawak pada 22 November tahun lalu.
Dana berkenaan diwujudkan bagi memaksimumkan pulangan daripada rizab modal lebihan negeri melalui pelaburan.
Sementara itu, Abang Johari memaklumkan proses rundingan antara kerajaan Sarawak dan kerajaan Persekutuan untuk mendapatkan semula beberapa hak yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) berjalan lancar.
Menurutnya, sekurang-kurangnya tiga hak akan dikembalikan kepada Sarawak dalam masa terdekat antaranya pengurusan Pelabuhan Bintulu serta pengambilalihan MASwings.
“Dua perkara itu pasti dikembalikan (pelabuhan Bintulu dan MASwings), manakala satu lagi tunggu dan lihat,” katanya.
Mengenai penubuhan UKAS pada 1 Ogos 2018, Abang Johari berkata, ia berlaku apabila kerajaan Persekutuan bertukar selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU 14).
“Sebelum itu lagi, apabila melihat perkembangan yang berlaku di dalam negara serta seluruh dunia, saya sudah memikirkan Sarawak perlu memiliki unit penerangan sendiri.
Ia untuk kita menyebarkan mesej yang benar dan tidak diputar belit serta menyampaikan niat baik pemimpin kita dalam berkhidmat kepada rakyat,” katanya.
Menurutnya, apa yang beliau bimbangkan menjadi kenyataan apabila kerajaan Persekutuan bertukar pada tahun 2018 yang menyaksikan ramai kakitangan Jabatan Penerangan Malaysia khususnya Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) ditamatkan perkhidmatan.
Sehubungan itu Abang Johari berkata, beliau mengambil keputusan untuk menubuhkan UKAS yang bertindak sebagai unit penerangan khas bagi Sarawak.
” Apabila ramai (kakitangan JASA) diberhentikan, saya membuat keputusan untuk mengambil anak Sarawak yang ada di dalam jabatan itu untuk menyertai unit penerangan baharu yang kita wujudkan.
“Pengalaman mereka kita manfaatkan untuk memberi penjelasan tepat setiap masalah yang dihadapi negara kita,” katanya.