comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ahli Parlimen pembangkang isytihar sokong PM dan Kerajaan Madani

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Dr Zulkafperi Hanapi menjadi Ahli Parlimen keenam dari blok pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengisytiharan sokongan itu dibuatnya menerusi satu kenyataan media yang dimuat naik di laman Facebooknya pada Rabu.

“Maka saya, selaku Ahli Parlimen Tanjong Karang dengan ini mengisytiharkan untuk memberi sokongan kepada kepimpinan YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri ke-10 bermula dari tarikh kenyataan media ini dikeluarkan.

“Saya juga ingin menyatakan sokongan kepada dasar dan inisiatif Kerajaan Madani yang mengutamakan kebajikan, pembangunan, ekonomi dan kepentingan rakyat sehingga Pilihan Raya Umum akan datang,” katanya.

Ujar Zulkafperi, keputusan itu dibuat bagi memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Tanjong Karang terbela dan mendapat pelbagai manfaat.

Malah pengisytiharan sokongan itu adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa pengisytiharan sokongan ini kepada kepimpinan YAB Perdana Menteri ke-10 adalah tanpa sebarang paksaan dan tekanan daripada mana-mana pihak dan saya lakukan dengan sepenuh hati untuk kepentingan penduduk Tanjong Karang,” katanya lagi.

Tegas Zulkafperi lagi, bagi mengelakkan sebarang keraguan, jelasnya beliau masih setia sebagai Ahli Bersatu dan tidak mengkhianati parti terbabit.

Namun ujarnya lagi, demi memastikan kelangsungan Parlimen Tanjong Karang seiring dengan pemerintahan peringkat Putrajaya, adalah wajar buatnya untuk bersama dengan kepimpinan Putrajaya diketuai Anwar.

“Buat semua penduduk Tanjong Karang yang sangat saya kasihi, marilah kita bekerjasama dan menyokong Kerajaan Madani pada hari ini serta sama-sama berdoa semoga Allah SWT sentiasa memberkati bumi bertuah Tanjong Karang dan kita semua mendapat limpahan pembangunan sebagaimana yang kita harapkan,” ujarnya lagi.

Loading...
Terkini