comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahli politik diminta tidak manipulasi fakta – MCW

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Ahli politik diminta tidak memanipulasi fakta dan undang-undang yang sedia ada untuk mengaburi mata rakyat serta mewujudkan persepsi buruk terhadap fungsi dan peranan agensi penguat kuasa negara.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh bertindak demi menjalankan fungsi dan tanggungjawab sebagai agensi utama yang memerangi rasuah selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada.

“Pada pandangan kami, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki hanya memberi kenyataan meminta Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan untuk membuat aduan atau laporan kepada SPRM sekiranya benar dia ditawarkan rasuah.

“Kenyataan ini tidak melibatkan apa-apa prosiding mahkamah, maka ia tidak termasuk dalam keistimewaan Ahli Parlimen mendapat perlindungan Imuniti Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian merujuk kepada kenyataan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang berpandangan bahawa SPRM tidak perlu masuk campur berhubung kenyataan Wan Saiful.

Menurut Hamzah, ahli parlimen memiliki imuniti daripada pendakwaan dan keistimewaan ketika berucap atau berbahas dalam sidang Dewan Rakyat, dan Wan Saiful sebagai seorang wakil rakyat mempunyai hak untuk tentukan bila beliau hendak buat laporan kepada SPRM tanpa didesak.

Terdahulu, SPRM memberi tempoh sehingga Ahad lalu kepada Wan Saiful untuk tampil ke suruhanjaya terbabit berhubung pendedahan beliau di Dewan Rakyat mengenai tawaran habuan untuk menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Azam dilaporkan berkata, sekiranya Ahli Parlimen tersebut tidak berbuat demikian, satu tindakan terhadapnya akan diambil.

Mengulas lanjut, Jais berkata, merujuk kepada keistimewaan semasa berbahas dalam sidang Dewan Rakyat dan Imuniti Parlimen seperti mana yang digariskan dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Keistimewaan Parlimen perkara 63 (1), (2) dan (3), ia adalah berkaitan dengan imuniti terhadap prosiding di dalam mahkamah.

Ujarnya, Perkara 63 (2) menyatakan dengan jelas: “Tiada seorang pun boleh dikenakan apa-apa prosiding di dalam mana-mana mahkamah berkenaan dengan apa-apa jua yang dikatakan atau apa-apa undi yang diberikan olehnya semasa mengambil bahagian dalam apa-apa prosiding mana-mana satu Majlis Parlimen atau mana-mana jawatankuasanya”.

“Apabila Wan Saiful menyebut di Parlimen iaitu di Dewan Rakyat mengenai dakwaan rasuah ditawar kepada beliau, maka sebenarnya menjadi tanggungjawab beliau sendiri untuk membuat laporan di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

“Dalam hal ini, SPRM boleh bertindak secara proaktif untuk berjumpa dan mengambil butiran atau maklumat yang berkenaan secara berjumpa terus dengan mana-mana individu,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab kepada mana-mana individu yang ditawarkan rasuah untuk segera membuat laporan berlandaskan undang-undang di bawah Seksyen 25 Akta SPRM 2009.

Tambahnya, Seksyen 25 (1) berkaitan kewajipan untuk melaporkan transaksi penyogokan, jelas menyatakan mana-mana orang yang diberi, dijanjikan atau ditawarkan apa-apa suapan dengan melanggar mana-mana peruntukan akta ini hendaklah melaporkan pemberian, janji atau tawaran tersebut kepada pegawai suruhanjaya atau pegawai polis yang paling hampir.

“Seperti mana di dalam peruntukan Akta SPRM 2009 iaitu di bawah Seksyen 7 (a) pegawai-pegawai suruhanjaya mempunyai fungsi menerima dan menimbangkan apa-apa aduan tentang perlakuan kesalahan rasuah dan menyiasat mana-mana aduan itu sebagaimana yang difikirkan praktik oleh Ketua Pesuruhjaya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini