comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahmad Hata dilantik Naib Canselor UNIMAS

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin 

 

PUTRAJAYA: Prof Dr Ahmad Hata Rasit dilantik sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) baharu menggantikan Prof Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi berkuat kuasa 8 Januari ini.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, pelantikan berkenaan bagi tempoh tiga tahun hingga 7 Januari 2027.

“Pelantikan beliau dilihat mampu meneruskan agenda merakyatkan universiti dan menyumbang kepada pembangunan anak Sarawak melalui kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri dan Persekutuan.

“Kementerian juga yakin pelantikan Ahmad Hata mampu memacu kecemerlangan UNIMAS sebagai sebuah Universiti Komprehensif yang berteraskan kepada tiga bidang tujahan iaitu pemuliharaan biodiversiti dan alam sekitar, teknologi maklumat, komunikasi dan kreatif serta kelestarian transformasi komuniti,” menurut kenyataan itu.

Watikah pelantikan disampaikan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir di sini, hari ini yang turut disaksikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman.

Menurut KPT, Ahmad Hata berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Perubatan dan Ijazah Doktor Perubatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1991 dan 1994 sebelum melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Surgeri (Ortopedik) dari universiti sama pada 2001.

Beliau memiliki pengalaman luas dalam pentadbiran organisasi di peringkat universiti dan penyandang Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UNIMAS dari 2019 serta Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UNIMAS selama tujuh tahun dari 2012.

“Kementerian turut mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi- tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Mohamad Kadim atas jasa bakti beliau sepanjang menerajui UNIMAS sebelum ini,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini