comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahmad Jailani dilantik Pengerusi SPA baharu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Seri Dr Ahmad Jailani Muhamed Yunus dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) berkuat kuasa hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, pelantikan berkenaan untuk tempoh tiga tahun.

Menurutnya, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pelantikan itu selaras Perkara 139(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Ahmad Jailani yang memiliki Ijazah Kedoktoran dari Hiroshima University, Jepun mempunyai pengalaman yang luas selama 30 tahun dengan memegang pelbagai jawatan penting dalam perkhidmatan awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahmad Jailani pernah memegang jawatan sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Jawatan Pengerusi SPA kosong selepas Tan Sri Zainal Rahim Seman menamatkan perkhidmatan pada 24 Julai 2023 selepas dilantik memegang jawatan tersebut pada 25 Julai 2018.

Susulan itu, semua mesyuarat SPA yang melibatkan pelantikan, kenaikan pangkat dan penamatan perkhidmatan penjawat awam terus berlangsung dengan dipengerusikan oleh Timbalan Pengerusi SPA.

Namun bagi urusan pelantikan, kenaikan pangkat dan kawalan tatatertib anggota perkhidmatan kehakiman dan perundangan, Pengerusi SPA hendaklah menjadi Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP) sebagaimana dinyatakan dalam Perkara 138 Perlembagaan Persekutuan dan perlu mengadakan sekurang-kurangnya empat mesyuarat setahun.

Bagaimanapun, semenjak Julai 2023, Mesyuarat SPKP tidak dapat diadakan kerana ketiadaan Pengerusi SPA yang juga merangkap Pengerusi SPKP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini