Tumpuan :
Nasional

Ahmad Nawab cukup bermakna bagi saya- Uji Rashid

Oleh: Fahmi Tajuddin

KUALA LUMPUR: Seniwati dan penyanyi legenda era 1970-an, Uji Rashid, menyifatkan pemergian Tan Sri Ahmad Nawab sebagai kehilangan besar dalam hidupnya.

Diskografi penerima Anugerah Biduanita Veteran Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2004 itu turut dipenuhi karya Ahmad Nawab sebagai penerbit dan penulis lagu.

Berkongsi perjalanan kariernya yang menjangkau enam dekad, Uji, 71, berkata Allahyarham adalah antara individu terawal yang membantu membina namanya dalam industri seni tanah air.

“Sebaik melangkah ke industri ini, saya bukan sesiapa. Saya tidak kenal sesiapa kecuali Jamil Sulong, Ahmad Nawab, dan Sharifah Aini. Saya bekerja rapat dengan mereka.

“Abang Mad (Ahmad Nawab) adalah antara individu terawal yang menulis lagu untuk saya, terutamanya untuk EP pertama saya.

“Saya menyertai pertandingan nyanyian bersama rakan, dan persembahan kami dirakam. Ketika itu, Abang Mad baru mendapat tawaran sebagai penerbit dan penulis lagu dengan sebuah syarikat rakaman. Beliau terlihat rakaman itu dan mula mencari saya.

“Beliau adalah individu yang membuka jalan rezeki untuk saya dan melonjakkan nama saya. Saya amat bersyukur kepada Tuhan atas kehadiran seorang Ahmad Nawab,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3, hari ini.

Salah satu lagu nukilan Allahyarham nyanyian Uji yang kembali popular ialah Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu daripada album dengan judul yang sama, diterbitkan pada 1977.

“Dalam dakapan senja ku renungi, sinar matamu, berat rasa melepaskan dikau pergi,” – petikan lirik lagu malar segar itu.

Uji mendedahkan lagu tersebut ditulis dan digubah oleh Ahmad Nawab serta Erna, atau lebih dikenali sebagai Chuari Selamat.

“Lagu itu mempunyai sisi tragis yang cukup peribadi kepada saya. Ketika itu, saya sedang bersedih atas pemergian seorang peminat yang juga adik angkat saya. Saya hanya duduk di rumah dan menangis.

“Rakan-rakan hadir ke rumah dan meminta Chuari serta Abang Mad menghasilkan lagu berdasarkan keadaan saya.

“Ketika rakaman, saya rasa seperti bukan diri sendiri. Saya rasa lain dan sejujurnya, saya tidak pernah menyanyikan lagu itu secara langsung kerana ia terlalu peribadi dan berkisar tentang kematian,” katanya.

Uji turut menegaskan bahawa lagu itu bukanlah miliknya sepenuhnya, kerana beliau ingin peminat mengetahui nama Ahmad Nawab dan Chuari yang bertungkus lumus menghasilkan karya berkenaan.

“Lagu itu adalah milik Ahmad Nawab dan Chuari. Walaupun sering dianggap sebagai lagu saya, hakikatnya ia adalah karya mereka yang saya bawakan,” tambahnya.

Bercerita tentang keperibadian Ahmad Nawab, Uji memuji dedikasi Allahyarham dalam mencipta lagu yang ‘custom-made’ untuk setiap penyanyi.

“Masa dia buat lagu, dia sangat teliti. Dia akan cipta berdasarkan penyanyi itu. Kalau orang lain nyanyi, hasilnya akan berbeza, bukan versi Uji Rashid,” jelasnya.

Antara lagu popular nyanyian Uji yang diterbitkan Allahyarham termasuk Semakin Hari Semakin Sayang, Berilah Kasih Sayang, dan Rintihan Rasa, nyanyian bersama DJ Dave.

Terdahulu, Ahmad Nawab, 92, menghembuskan nafas terakhir di kediamannya di Taman Melewar, Batu Caves, pada jam 3.15 petang, Ahad.

Berita duka itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan, yang memaklumkan bahawa Allahyarham tidak menghidap penyakit kronik tetapi kesihatannya merosot selepas rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) bulan lalu.

Sepanjang kariernya, Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan oleh artis-artis tempatan seperti Allahyarham Sharifah Aini, Uji Rashid, Datuk Jamal Abdillah, dan Datuk Khadijah Ibrahim.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini