Tumpuan :
Nasional

Ahmad Nawab tak kejar anugerah

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid. Foto Arkib NSTP

 

KUALA LUMPUR: “Sejak kecil lagi, ketika belajar muzik dengan ayah, saya cakap kepadanya, bukan anugerah yang diimpikan, sebaliknya, mahu berjasa kepada negara.”

Itu kata-kata dilafazkan legenda muzik, Allahyarham Tan Sri Ahmad Nawab, 92, ketika ditemuramah media selepas dikurniakan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, Kuala Lumpur, pada 5 Jun tahun lalu.

Ternyata, sejak berjinak-jinak dengan muzik, Allahyarham Ahmad Nawab tidak mengharapkan apa-apa balasan atas karya dihasilkan.

Sebaliknya, apa yang dicurahkan dalam karya semata-mata magis dan cintanya terhadap seni muzik. Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab dilapor mencipta lebih 2,000 lagu sejak era 1950-an.

Media melaporkan, Ahmad Nawab yang melahirkan nama besar dunia seni suara seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Khadijah Ibrahim, Datuk Jamal Abdillah, Uji Rashid dan Ramlah Ram, bersyukur jasanya selama ini dikenang dan mendapat pengiktirafan Yang di-Pertuan Agong.

“Saya bersyukur atas kurniaan darjah kebesaran ini walaupun daripada dahulu lagi, saya memang tidak pernah mengharapkan pengiktirafan. Saya anggap ini adalah anugerah daripada Tuhan.

“Saya juga berterima kasih kepada rakan industri, peminat dan sesiapa sahaja yang terus menyokong hasil kerja saya selama ini.

“Ini bukanlah anugerah yang kecil, tetapi sangat besar. Apatah lagi memberi gelaran Tan Sri kepada saya sebaris dengan seniman tersohor lain seperti Allahyarham Tan Sri P Ramlee dan Allahyarham Tan Sri SM Salim.

“Bagi saya, ini adalah hadiah paling bermakna buat diri saya walaupun tidak pernah mengharapkan apa-apa balasan dari dahulu. Bagaimanapun, saya bersyukur dengan gelaran yang dikurniakan ini.

“Walaupun sudah bergelar Tan Sri, tetapi saya tetap merasakan diri ini masih sama. Tidak perlu sombong dengan gelaran yang ada,” katanya.

Allahyarham Ahmad Nawab dilapor meninggal dunia di kediaman di Taman Melewar, Batu Caves di sini, pada jam 3.15 petang tadi.

Berita sedih pemergian Allahyarham Ahmad Nawab atau nama penuh, Ahmad Khan Nawab Khan itu disahkan cucunya, Khairul Hafis Khan.

Sebelum ini, dalam temuramah terakhir bersama media, Allahyarham Ahmad Nawab berkongsi perasaan selepas kehilangan adiknya, yang juga pemuzik iaitu Akbar Khan, 86, yang pergi menghadap Ilahi pada 31 Ogos lalu.

Dalam temuramah itu, Allahyarham Ahmad Nawab dilapor menyebut bahawa legasi Khan akan terus kekal meskipun dua adiknya sudah meninggal dunia.

“Kami cuma tiga beradik dan sekarang tinggal saya seorang. Walaupun tinggal seorang, selepas bapa dan adik-beradik tiada, Khan kekal sampai bila-bila pun,” katanya.

Dalam perkongsian itu, Allahyarham Ahmad Nawab memberitahu dua adik bekerja dalam bidang muzik mengikuti arwah bapa yang berketurunan Pakistan.

“Bapa saya orang seni, jadi saya dan adik-beradik belajar muzik dengan arwah. Jadi, seni memang mengalir dalam darah, tapi Akbar bukan sahaja minat muzik, tapi berbakat dalam melukis. Di rumahnya banyak lukisan.

“Arwah Akbar dulu bekerja dengan saya dalam syarikat rakaman, kemudian bila sudah berhenti, arwah hasilkan sendiri lagu-lagu dan banyak juga lagu arwah dalam piring hitam,” katanya.

Dengan pemergian Allahyarham Ahmad Nawab, dunia muzik tempatan hilang sebutir lagi mutiara seni.

Sebelum ini, pada 16 November lalu, Allahyarham Datuk S Atan atau nama sebenar, Hashim Said, 75, dilapor meninggal dunia di kediamannya di Kajang, akibat komplikasi jantung. Perginya ke negeri abadi kedua-dua figura ini meninggalkan lompong besar dalam dunia muzik, mengambil kira khazanah lagu Melayu tidak ternilai ditinggalkan mereka.

Memulakan karier muzik sejak berusia 16 tahun, Allahyarham Ahmad Nawab yang dilahirkan di Pulau Pinang pada 6 April 1932, dianugerahkan gelaran Seniman Negara Ke-7 oleh Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan pada 2006, iaitu penganugerahan tertinggi negara kepada seniman terutama dalam bidang muzik.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab menghasilkan lebih 200 album yang didendangkan artis tempatan seperti Allahyarham Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Datuk Jamal Abdillah, Datuk Khadijah Ibrahim dan Uji Rashid.

Allahyarham Ahmad Nawab juga mencipta lagu untuk bintang Indonesia seperti Hetty Koes Endang dan Broery Marantika.

Sepanjang kariernya, Allahyarham Ahmad Nawab yang pernah berkhidmat dengan Orkestra RTM selama 17 tahun, memenangi pelbagai anugerah seperti Anugerah Merak Kayangan (Lagu Terbaik) bagi lagu ciptaan pertamanya Bintang Malam pada 1980.

Atas kepakaran dan pencapaiannya, Universiti Putra Malaysia (UPM) mengurniakan anugerah Doktor Falsafah dalam bidang penulisan kehormat pada 2000.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini