comscore
Tumpuan :
Nasional

Ahmad Samsuri masuk pejabat hari pertama

Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meletakkan ibu jari ke mesin perakam waktu semasa memulakan tugas secara rasmi sebagai Menteri Besar Terengganu di Wisma Darul Aman, hari ini. – Foto : NSTP

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memulakan tugas rasmi pada hari pertamanya di Pejabat Menteri Besar di Tingkat 16, Wisma Darul Imam, kira-kira jam 9.05 pagi tadi.

Ketibaan Ahmad Samsuri disambut Setiausaha Sulit Kanan (SUSK), Idham Mustafa dan Setiausaha Sulit kepada MB, Mohd Hasbi Kyairi Ahmad Fuad serta pegawai dan kakitangan pejabat Menteri Besar.

Sebagai simbolik, Ahmad Samsuri mengetip kad perakam waktu sebelum memasuki pejabatnya dan menandatangani beberapa dokumen.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar untuk penggal kedua, semalam.

Istiadat Pengisytiharan Pelantikan Menteri Besar itu berlangsung di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Balairong Seri, Istana Syarqiyyah, di sini, pada 3.18 petang.

Ahmad Samsuri, 53 yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Terengganu dilantik semula ke jawatan itu selepas PN memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN), Sabtu lalu.

Beliau yang juga Naib Presiden PAS sebelum ini dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Terengganu pada 10 Mei 2018 selepas PAS memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Pada PRN 2023, Ahmad Samsuri mempertahankan kerusi DUN Ru Rendang yang disandangnya sebelum ini selepas menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Suhaimi Sulaiman.

Ahmad Samsuri memperoleh 20,927 undi mengalahkan Suhaimi yang mendapat 3,641 undi dengan majoriti 17,286 undi.

Selepas menandatangani beberapa dokumen, Ahmad Samsuri ke tingkat U2 untuk mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Kerajaan negeri (EXCO).

Antara agenda mesyuarat kali pertama adalah pelantikan portfolio 10 EXCO.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Razali Idris antara muka baharu yang dilantik sebagai Exco kerajaan negeri.

Selain Razali, tiga lagi ADUN yang sebelum ini Timbalan Exco kini menjawat jawatan sebagai Exco penuh.

Mereka adalah Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi (Batu Buruk), Maliaman Kassim (Ajil) dan Hishamuddin Abdul Karim (Tepoh).

Maliaman sebelum ini adalah Timbalan Exco Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Hishamuddin (Timbalan Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan) dan Muhammad Khalil (Timbalan Exco Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran).

Enam Exco yang dikekalkan adalah ADUN Paka, Datuk Satiful Bahari Mamat, Dr Azman Ibrahim (Jabi), Wan Sukairi Wan Abdullah (Wakaf Mempelam), Ariffin Deraman (Alor Limbat), Hanafiah Mat (Chukai) dan Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman (Kota Putera).

Loading...
Terkini