Tumpuan :
Nasional

Ahmad Zahid arah agensi terlibat pantau lokasi tanah runtuh

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ditemui media selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit, hari ini.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Kerajaan mengarahkan pihak berkaitan memantau kawasan berisiko terutama lereng bukit dan gunung bagi mengelak berlaku tanah runtuh.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi memastikan insiden tanah runtuh yang berlaku di Kampung Bukit Apit tidak berulang lagi.

“Oleh kerana soal tanah runtuh ini di bawah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), kita akan menghantar pasukan daripada jabatan itu untuk ke lokasi.

“Ini adalah kerana kita melihat laluan air bawah tanah yang dikhuatiri akan menyebabkan runtuhan selanjutnya berlaku,” ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas menziarahi keluarga mangsa tanah runtuh di Kampung Bukit Apit di sini hari ini.

Ahmad Zahid turut menyampaikan sumbangan kepada ibu mangsa, Ruziah Fuad, 46, yang kini menetap di rumah sewa baharu yang disediakan oleh kerajaan negeri di kawasan berhampiran.

Terdahulu beliau meluangkan masa meninjau lokasi berlakunya runtuhan bersama beberapa agensi dan jabatan kerajaan.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri Terengganu (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berharap orang ramai yang mempunyai kediaman atau tinggal di kawasan berisiko supaya lebih berhati-hati terutamanya dalam musim Monsun Timur Laut (MTL) ini.

“Dan saya merasakan bahawa semua pihak harus bersiap-siaga kerana keadaan MTL ini pada 2024 lebih buruk daripada 2014.

“Ianya bukan berlaku di negeri-negeri Pantai Timur, tapi juga berlaku di sembilan negeri, ertinya ia disebabkan pemanasan global dan juga ‘climate change’… maka semua kemungkinan boleh berlaku,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini