Tumpuan :
Nasional

Ahmad Zahid ucap takziah kepada keluarga mangsa tanah runtuh di Miri

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam kejadian tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, awal pagi tadi.

Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara menzahirkan rasa dukacita dengan berita kejadian tanah runtuh yang telah meragut satu nyawa.

“Takziah sata ucapkan kepada keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang amat menyayat hati ini.

“Semoga mereka diberikan kekuatan dalam menghadapi ujian berat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid menyeru agar orang ramai berwaspada dengan amaran hujan lebat berterusan di beberapa kawasan di Sarawak dan Sabah sehingga Jumaat ini.

“Justeru, saya menyeru semua pihak agar berwaspada, terutama mereka yang berada di kawasan berisiko tinggi. Keselamatan harus diutamakan,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat dan amaran terkini melalui publicinfobanjir.water.gov.my, Facebook PublicInfoBanjir, X @JPS_InfoBanjir, aplikasi myCuaca MetMalaysia dan portalbencana.nadma.gov.my.

“Semoga kita semua dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini