comscore
Tumpuan :
Nasional

Aidilfitri: Kadar tambang bas ekspres ekonomi naik 10 peratus

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi akan mengalami kenaikan sebanyak 10 peratus mulai 4 hingga 17 April ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Dalam kenyataan hari ini, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) memaklumkan, mesyuarat Jemaah Menteri telah meluluskan surcaj musim perayaan sebanyak RM0.009 sekilometer (SKM) ke atas kadar tambang semasa bas ekspres kategori berkenaan.

“Pelaksanaan surcaj ini akan meningkatkan kadar tambang bas ekspres kategori perkhidmatan ekonomi kepada RM0.102 skm berbanding kadar tambang biasa iaitu RM0.093 SKM (kenaikan 10 peratus),” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, APAD membuka permohonan Lesen Perubahan Sementara (LPS) dalam usaha memastikan perkhidmatan bas ekspres mencukupi dan menampung peningkatan penumpang yang pulang ke kampung sempena musim perayaan.

Jelasnya, permohonan itu terbuka kepada semua pengendali bas yang layak bermula 11 Mac lalu hingga 2 April ini dengan tempoh sah laku LPS bagi semua permohonan yang diluluskan ialah dari 4 hingga 17 April.

“Pengendali yang memohon LPS perlu mematuhi ketetapan syarat-syarat pengendali bas ekspres oleh APAD iaitu mematuhi polisi dan spesifikasi kelas lesen bas ekspres, dilengkapi Sistem Pengesanan Global (GPS) dan had usia penggunaan tidak melebihi 10 tahun.

“Syarat lain termasuk terhad kepada jenis perkhidmatan ekonomi sahaja serta bagi bas ekspres dan bas persiaran yang melebihi had usia penggunaan dan telah mendapat kelulusan Laporan Puspakom (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) VR1 Khas (Kod 9009) dibenarkan untuk memohon,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, APAD berkata, permohonan lengkap dan memenuhi syarat boleh dikemukakan secara fizikal di semua pejabat wilayah dan kaunter APAD di pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Pada masa sama, agensi berkenaan menyeru semua pengendali bas agar sentiasa memberi perkhidmatan yang berkualiti, menepati jadual tambang dan jadual perjalanan, menjamin keselamatan pengguna serta memastikan pemandu bas mematuhi peraturan yang dikuatkuasakan.

“Ditegaskan bahawa sebarang pelanggaran syarat lesen yang telah ditetapkan boleh menyebabkan pengendali dikenakan tindakan berdasarkan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715).

“Pihak APAD memohon kerjasama semua pihak dalam usaha memperkasakan perkhidmatan pengangkutan awam kepada rakyat,” menurut kenyataan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini