comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Aidilfitri: PLUS aktifkan laluan ‘SmartLane’ atasi kesesakan perjalanan kembali semula ke Lembah Klang

Oleh: Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan SmartLane, iaitu pembukaan sementara lorong kecemasan di laluan tertentu yang kritikal di lebuh raya bagi menambah kapasiti lorong.

Inisiatif bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) itu sejajar dengan lonjakan trafik yang dijangka hujung minggu ini berikutan berakhirnya cuti hari raya serta cuti am hari pekerja di antara 29 April hingga 1 Mei.

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi dalam kenyataan hari ini berkata, laluan yang dikenal pasti ialah Gua Tempurung-Gopeng iaitu antara KM 306.7 hingga KM 297.0 arah Utara.

Tinjauan aliran trafik di Lebuhraya PLUS arah Rawang. -Foto: NSTP

Juga Slim River- Sungkai antara KM 367.3 hingga KM 354.1 arah Utara dan Rawang – Sungai Buaya antara KM 439.9 hingga KM 435.5 arah Utara.

Walau bagaimanapun, pengaktifan laluan ini di lokasi-lokasi tersebut bergantung kepada keadaan trafik semasa dan kebenaran pihak berkuasa pada waktu dan tempoh tertentu sebelum dilaksanakan.

Pengguna boleh mengenalpasti penggunaan laluan ini melalui papan tanda ‘SmartLane’ serta pengawal trafik yang ditempatkan di lokasi terbabit atau merujuk laman media sosial PLUS di Facebook atau Twitter PLUSTrafik.

Ketika laluan ini diaktifkan, pengguna dibenarkan memasuki dan memandu di laluan kecemasan untuk sementara sebagai langkah menambah kapasiti laluan terbabit sebelum diarah masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan mereka.

Pengguna bagaimanapun dilarang menggunakan bahu jalan atau laluan kecemasan di lokasi lain.

Sepanjang cuti Aidilfitri ini juga, PLUS telah mengaktifkan SmartLane di dua laluan di Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara iaitu antara Persimpangan Port Dickson hingga Persimpangan Seremban dan Persimpangan Senai Utara hingga Persimpangan Kulai bagi melancarkan aliran trafik.

PLUS juga mengucapkan terima kasih kepada semua pihak berkuasa terlibat terutamanya PDRM yang membantu menyurai dan mengawal trafik di lokasi laluan ‘SmartLane’ dan di sepanjang lebuh raya pada musim perayaan ini.

Loading...
Terkini