comscore
Tumpuan :
Nasional

Aidilfitri: Rumah Terbuka Malaysia Madani peluang dekati rakyat, bukan kempen PRN

Oleh Kumaran Rajamoney

ALOR SETAR: Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri adalah usaha kerajaan untuk mendekatkan kepimpinan Kerajaan Persekutuan dengan rakyat di negeri berkenaan.

 

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, penganjuran di peringkat negeri  memberikan akses maksimum kepada rakyat untuk hadir, berbanding jika diadakan di Putrajaya atau kawasan sekitarnya.

“Bukan semua orang dari negeri-negeri dapat berkunjung ke rumah terbuka sekiranya ia diadakan di Seri Perdana, Putrajaya. Maka, pilihan dibuat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah untuk mendekati dan meraikan sebanyak mungkin rakyat.”

“Program ini juga usaha kerajaan persekutuan untuk mendekati kerajaan negeri, termasuk yang dipimpin pembangkang. Malah, banyak acara peringkat kebangsaan dirancang untuk diadakan di luar Putrajaya bagi mencapai hasrat menguatkan kerjasama ini.”

Beliau yang juga Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata, tidak timbul soal pembaziran dalam penganjuran rumah terbuka ini.

“Kita komited untuk mengadakan perbelanjaan yang berhemah. Kalau nak diungkit soal pembaziran, kita boleh membuat perbandingan dengan kerajaan terdahulu.” katanya mengulas kritikan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kononnya Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri di enam negeri adalah kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) dan melibatkan kos yang tinggi.

Rumah Terbuka Malaysia MADANI bersama Perdana Menteri akan dimulakan di Kedah 29 April ini, diikuti Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei), Terengganu (13 Mei) dan kemuncak sambutan rumah terbuka itu berlangsung di Selangor, 14 Mei depan.

Loading...
Terkini