comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air bukit sebagai sumber alternatif penduduk

 

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

HULU TERENGGANU: Penduduk di Kampung Payang Kayu, di sini, sebuah perkampung kecil yang mempunyai 98 buah rumah dan mempunyai lebih 500 penduduk, menggunakan air bukit sebagai alternatif bagi mengurangkan penggunaan air paip kerajaan.

Di hujung kampung berkenaan terdapat bukit tinggi yang menjadi sumber air utama penduduk sejak lebih 100 tahun lalu.

Untuk ke lokasi dari jalan utama, perlu mendaki anak bukit setinggi 80 meter.

Setibanya di sini, terdapat empangan kecil yang dibina pada 1984 oleh penduduk untuk menandak air bukit.

Lebih menarik penduduk mengeluarkan modal sendiri untuk membuat sistem perpaipan dari empangan ini terus ke setiap rumah penduduk dan setiap rumah dikenakan bayaran 25 ringgit sebagai kos menyelenggara sistem paip.

Bagaimanapun kos itu tidak mencukupi dan penduduk lega dibantu syarikat korporat lain dengan sumbangan lima ribu hingga tujuh ribu setahun.

Setiap tahun, penduduk akan bergotong royong membersihkan kawasan ini bagi memastikan air sentiasa bersih dan tidak tercemar.

“Penggunaan air bukit ini merupakan sebahagian penambahan kepada air JBA (SATU) yang dibekalkan ke setiap rumah dengan penggunaan air bukit kita dapat kurangkan bayaran untuk faedah lain.

“Kita sebenarnya buat program ini nak standby musim kemarau dan Ramadan keadaan umat Payang Kayu ceria, bangun pagi dalam keadaan segar, malam pun segar, tengahari segar, sebab air bukit ini kualitinya sejuk untuk mandi.” kata seorang penduduk, Mustafa Taib.

“Saya memang guna air bukit dan JBA dan bezanya air bukit air yang asli kalau kite guna untuk masak dan makan kita guna untuk rebus kita tak guna terus kita masak untuk kegunaan harian, ‘ ujar seorang lagi penduduk Yaafar Endut.

Empangan yang menjadi sumber air bukit ini sentiasa dipantau penduduk secara bergilir-gilir untuk memastikan sumber air ini dapat digunakan oleh generasi akan datang.

Apa yang pasti bekalan air bukit di kampung ini masih relevan dan ia juga dilihat sebagai satu tradisi kerana  masih diguna pakai hingga kini walaupun mempunyai kemudahan air daripada kerajaan.

Selain itu ia juga langkah untuk mengelak penggunaan air yang kerap ketika musim peralihan monsun yang membawa musim panas.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini