comscore
Tumpuan :
Nasional

Air dan kupang di perairan Port Dickson masih tercemar

Pada 4 April lalu, kakitangan Jabatan Perikanan dan Jabatan Kesihatan melakukan analisis sampel susulan kejadian kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di perairan Pasir Panjang. FOTO: NSTP

ISKANDAR PUTERI: Analisis terhadap sampel air dan kupang di perairan Port Dickson masih dicemari biotoksin berbahaya.

Timbalan Ketua Pengarah Perikanan (Pengurusan), Wan Muhammad Aznan Abdullah berkata, sehingga kini, Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) masih meletakkan larangan terhadap pengusaha kupang untuk menjual kerang-kerangan (dwicengkerang) demi keselamatan pengguna.

Beliau berkata, pihaknya akan terus menjalankan pemantauan sehinggalah bacaan kembali ke paras normal dan selamat untuk dimakan.

“Kita berterusan mengambil sampel kupang dan air dari perairan berkenaan iaitu setiap dua minggu bagi mengesan kewujudan biotoksin berbahaya.

“Hasil analisa terakhir mendapati, kadar biotoksin semakin berkurangan dan menghampiri kadar piawaian standard yang ditetapkan iaitu 800 per bilion (ppb),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas melancarkan Program Rasa-rasa Akuakultur dan Jelajah Unggulan Perikanan Negeri Johor 2024 di Kompleks Jabatan Perikanan Negeri Johor di sini, hari ini.

Pada 2 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Negeri Sembilan (JKNNS) memaklumkan terdapat lapan kes keracunan makanan berkaitan pengambilan kupang di Port Dickson.

Pejabat Kesihatan Daerah Port Dickson memaklumkan, dua kes pesakit dimasukkan ke unit rawatan rapi, lima kes dimasukkan ke wad biasa dan satu kes dirawat sebagai pesakit luar yang mana semuanya di Hospital Port Dickson.

Dilaporkan, siasatan awal mendapati pesakit semua kes itu mengalami gejala sakit kepala, kebas tangan dan kaki serta lemah otot, membabitkan beberapa keluarga berbeza yang pernah memakan kupang yang dibeli dari dua pasar di sekitar Port Dickson.

Susulan itu, Wan Muhammad Aznan pada 4 April lalu dilaporkan berkata, hasil analisis makmal menunjukkan terdapat alga berbahaya menyebabkan kupang di perairan Port Dickson dicemari dan tidak selamat dimakan.

Sampel air dan kupang di perairan itu dicemari biotoksin serta alga spesies Prorocentrum, Alexandrium dan Pseudonitzschia berbahaya.

Mengulas lanjut, Wan Muhammad Aznan berkata, bacaan pertama biotoksin bagi kes itu adalah antara 20,000 hingga 30,000 ppb, melebihi kadar piawaian standard ditetapkan, manakala bacaan terkini yang diambil adalah antara 900 hingga 1,000 ppb, menghampiri paras normal.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini