Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air naik mendadak beberapa kampung di Kemasik digenangi air

Situasi banjir di Kampung Baru Sarang Lang, Kemaman.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

KEMAMAN: Hujan lebat berterusan sejak kelmarin, menyebabkan Sungai Sekele di Kemasik, di sini, melimpah dan menggenangi rumah penduduk.

Fenomena air pasang yang berlaku sejak awal pagi tadi juga mendorong kepada situasi itu.

Tinjauan Buletin TV3 mendapati, penduduk amat terkesan dengan bencana banjir.

Menurut Hamidah Deraman, 60, dari Kampung Baru Sarang Lang, ini kali kedua dia berdepan dengan banjir.

Hamidah Deraman, mangsa banjir

“Ketika banjir melanda 20 November lalu, rumah saya tak digenangi air tapi kali ini air naik sehingga paras lutut.

“Penat sangat dan sedih apabila banyak barang rosak”, katanya.

Sementara itu, Fatimah Katim, 72, dari Kampung Padang berkata, kali terakhir rumahnya dilanda banjir pada tahun 2014.

Fatimah Katim, mangsa banjir

“Ya, kali terakhir banjir 2014, masa tu banjir besar, selepas tu rumah dah tak dinaiki air.

“Kali ini disebabkan hujan lebat dan air pasang, rumah saya banjir sampai paras lutut”, ujarnya.

Seorang lagi mangsa banjir, Mohd Anur Shamsuddin, 45, dari Kampung Baru Kanan berkata, semua barang dalam rumahnya terapung dan rosak.

Mohd Anur Shamsuddin, mangsa banjir

“Saya tak sempat nak menyelamatkan barang-barang rumah, semua dah rosak, air naik sampai paras leher.

“Peti ais, mesin baru, televisyen dan perabot-perabot rumah semua dah terapung”, kongsinya kepada Buletin TV3.

Kesemua mangsa banjir terbabit berkata demikian ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) SK Kemasik.

PPS ini kini menjadi tempat menumpang teduh 598 mangsa membabitkan 180 keluarga.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini