comscore
Tumpuan :
Nasional

Air Selangor giat baiki paip pecah di Jalan Sultan Ismail 

Oleh: Fahiz Ariff

KUALA LUMPUR: Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) mengesahkan insiden di Jalan Sultan Ismail, di sini, hari ini disebabkan oleh kejadian paip pecah dan bukan mendapan tanah.

 

Menerusi satu kenyataan, Air Selangor memaklumkan secara amnya kejadian paip pecah boleh menyebabkan kerosakan jalan di sekitar kawasan terlibat kerana tekanan air yang tinggi dalam sistem paip.

Kerja pembaikan paip pecah di lokasi kejadian ketika ini sedang giat dilaksanakan.

“Tindakan segera untuk kerja-kerja pembaikan paip tersebut telah diambil dan siap pada jam 5:00 petang.

“Kerja-kerja penurapan jalan sedang dijalankan dan dijangka siap dalam tempoh 24 jam, bergantung pada keadaan cuaca di lokasi kejadian,” tambah Air Selangor.

Air Selangor akan mengemas kini maklumat terkini menerusi aplikasi dalam talian Air Selangor dan media sosialnya.

“Sebarang perkembangan lanjut berkenaan kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

“Pengguna juga boleh mendapatkan maklumat berhubung Air Selangor menerusi saluran komunikasi rasmi kami seperti aplikasi Air Selangor, Facebook, Instagram dan X atau hubungi Air Selangor di talian 15300.

Sebelum itu, tular di media sosial video yang mendakwa berlakunya satu insiden lubang benam atau ‘sinkhole’ berdekatan Jalan Sultan Ismail menghala ke Jalan Raja Chulan di Kuala Lumpur.

Video berdurasi 10 saat yang tersebar itu menunjukkan anggota bomba sedang mengawal kawasan jalan yang seakan-akan mengalami mendapan tanah.

Jalan yang terjejas itu turut ditutup dengan kon dan pita kuning manakala aliran air didapati turut berlaku di lokasi.

Loading...
Terkini