comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air Sungai Kandis berwarna biru, JAS masih kesan pelaku 

FOTO: LUAS/ Facebook

KLANG: Jabatan Alam Sekitar (JAS) menolak kemungkinan penglibatan kilang-kilang di kawasan Jalan Sellathevan, di sini hingga menyebabkan aliran air Sungai Kandis yang berwarna biru.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor, Nor Aziah Jaafar berkata, pihaknya tidak mengesyaki kilang-kilang di situ memandangkan mereka tidak menghasilkan air sisa proses.

“Kebanyakan premis di situ adalah berasaskan logam, kimpalan, gudang dan pembungkusan,” katanya ketika dihubungi Buletin TV3 di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya JAS percaya insiden berpunca dari pembuangan bahan berwarna oleh pihak tidak bertanggungjawab secara one-off.

“Kita juga telah mengambil beberapa sampel untuk dianalisis oleh Jabatan Kimia Malaysia

FOTO: LUAS/ Facebook

“Siasatan juga mendapati dan tidak menolak kemungkinan bahawa buangan cecair berwarna biru ini dibuang secara one-off oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” jelasnya.

Nor Aziah berkata, siasatan pihak JAS mendapati modus operandi adalah pelaku dipercayai membuang bahan terbabit pada waktu malam atau awal pagi.

“Pada masa ini, pihak JAS masih meneruskan siasatan sehingga kita dapat menemui pelaku ataupun pihak yang tidak bertanggungjawab ini.

“JAS juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kes ini dapat memaklumkan kepada JAS untuk tindakan selanjutnya, katanya.

Terdahulu, media melaporkan kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam, aliran air berwarna biru di Sungai Kandis dikesan di kawasan Jalan Sellathevan, Klang.

Menurut Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), pihaknya segera ke lokasi dan menjalankan siasatan lanjut sehingga lewat petang menjejaki punca kepada aliran air berwarna biru itu di kawasan persekitaran yang berhampiran.

Siasatan LUAS menemukan punca yang disyaki di kawasan perindustrian di Jalan Omboh, kesan pembuangan cat berwarna biru di tapak.

Semakan lanjut LUAS mendapati lopak air di kawasan tersebut berwarna biru dan aliran memasuki longkang berhampiran dan seterusnya mengalir ke dalam Sungai Kandis.

LUAS sudah melakukan pensampelan kualiti air dan sampel tersebut telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk analisis lanjut bagi tindakan penguatkuasaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini