comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Air sungai naik mendadak, pekan Sungai Lembing dilanda banjir kilat

KUANTAN: Hujan berterusan sejak kelmarin menyebabkan pekan Sungai Lembing, di sini dilanda banjir kilat, petang tadi.

Banjir kilat itu juga kali ketiga berlaku dalam tempoh kira-kira sebulan iaitu pada 7 Januari dan 24 Disember lalu.

Difahamkan, paras air sungai yang naik secara mendadak pada lewat petang menyebabkan pekan Sungai lembing mula dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

Namun, tiada penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) setakat ini.
Menerusi laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), paras Sungai Lembing melepasi paras bahaya iaitu 39.88 meter (m) berbanding paras ditetapkan ialah 36 m setakat jam 7 petang tadi.

Sehubungan itu, penduduk yang berada di kawasan rendah terutama berhampiran sungai supaya sentiasa bersiap sedia berpindah jika paras air sungai naik dan mengikut arahan daripada pihak berkuasa.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Monsun Timur Laut (MTL) akan berakhir pada Mac depan.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pahang, Kolonel (PA) Che Adam A Rahman sebelum ini menasihati masyarakat supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca.

Katanya, sepanjang musim monsun, anggota APM sentiasa memantau keadaan dan bersiap siaga terutama menyalurkan maklumat berkaitan banjir dari semasa ke semasa.

Loading...
Terkini