Tumpuan :
Nasional

Ajaran dan pegangan dalam GISBH sesat, menyeleweng – MKI

KUALA LUMPUR: Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) melalui Jawatankuasa Muzakarahnya telah memutuskan bahawa ajaran, pegangan, dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin bin Mohd Ali dari Global Ikhwan Services and Business Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) adalah sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Keputusan itu diambil selepas Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah MKI Kali Ke-125 yang berlangsung 24 hingga 26 September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah MKI, Datuk Nooh Gadot dalam satu kenyataan berkata, Muzakarah telah mengkaji isu-isu yang melibatkan akidah, syariah, dan akhlak dalam GISBH sekaligus bersetuju dengan hasil kajian serta hujah yang dikemukakan oleh para penyelidik.

“Ajaran, pegangan, dan fahaman yang dibawa oleh Nasiruddin bin Mohd Ali dari GISBH, serta mana-mana pengikut atau individu yang mempunyai kaitan dengan syarikat tersebut, didapati sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

“Antara penyelewengan yang dikenal pasti adalah, mendakwa Asy-Syeikh Muhammad bin Abdullah As-Suhaimi sebagai Imam Mahdi; mempercayai Asaari bin Muhammad akan muncul sebagai pembantu Asy-Syeikh Muhammad di akhir zaman, dakwaan bahawa Asaari bin Muhammad boleh memberi syafaat kepada pengikutnya.

“Ia termasuk menganggap air basuhan anggota badan pemimpin dan air rendaman rambut atau janggut pemimpin mempunyai berkat, mengamalkan sistem ekonomi ma’ash yang menyerupai perhambaan, di mana pengikut ditanggung sepenuhnya oleh syarikat tetapi perlu berkhidmat secara sukarela tanpa upah,” ujar kenyataan itu.

Tegasnya, Jawatankuasa Muzakarah mencadangkan agar agensi kerajaan berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri membantu melaksanakan proses istitabah (taubat) dengan peruntukan pembiayaan yang bersesuaian.

Tambanya lagi, JAKIM telah menyembah maklum pandangan hukum berkenaan kepada Pengerusi MKI, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, dan seterusnya kepada Mesyuarat Majlis Raja-Raja yang Ke-267 pada 23 – 24 Oktober 2024.

Majlis Raja-Raja juga ujarnya mengambil maklum pandangan itu dan menyerahkan kepada pihak berkuasa negeri untuk mempertimbangkan keputusan ini bagi tujuan pewartaan fatwa di negeri masing-masing.

Pada masa sama, Nooh menasihati orang ramai supaya menjauhi ajaran ini dan tidak berpegang, mempercayai, menyebarkan, atau mengamalkannya.

“Individu yang terlibat disarankan bertaubat dengan taubat nasuha. Dilarang memiliki, menyimpan, atau menerbitkan bahan bacaan yang berkaitan ajaran GISBH dalam apa jua bentuk media,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini