comscore
Tumpuan :
Nasional

Ajaran The Ahmadi: KDN bekerjasama dengan Menteri Agama

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan melihat sama ada wujud unsur ancaman ketenteraman awam dan keselamatan dalam isu ajaran ‘The Ahmadi, Religion of Light and Peace’.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya juga akan membuat semakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berhubung perkara itu.

“Saya difahamkan Menteri Agama (Na’im) sudah keluarkan kenyataan, itu dari sudut ada pelanggaran agama dan undang-undang.

“Dari sudut KDN, ianya berkaitan aspek ketenteraman awam dan keselamatan, jadi saya akan bekerjasama dengan Menteri Agama untuk melihat aspek mana yang ada unsur-unsur yang dianggap boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan ketenteraman awam,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Jelasnya, setakat ini beliau tidak mempunyai sebarang makluman laporan polis yang berkaitan dengan ajaran berkenaan.

Semalam, Mohd Na’im dilapor berkata, ajaran ‘The Ahmadi, Religion of Light and Peace’ adalah bertentangan dengan syariat Islam.

Tegas beliau, pihaknya akan memastikan semua kandungan di media sosial mengenai ajaran itu diturunkan seberapa segera bagi mengelakkan masyarakat daripada terpengaruh.

Ditanya dakwaan kitab ajaran terbabit bakal diterbitkan dalam Bahasa Melayu, Saifuddin berkata, beliau akan menyemak perkara itu dengan Mohd Na’im.

“Sebab di bawah kita cuma ada penguatkuasaan dan kawalan, tentu kita boleh aktifkan bahagian penguat kuasa kita jika memang wujud perkara yang disebut,” katanya.

Sebelum ini tular di media sosial mengenai akaun TikTok dipercayai milik bishop atau ketua ajaran ‘The Ahmadi, Religion of Light and Peace’ mendapat sambutan apabila pemilik akaun itu menggunakan aplikasi TikTok live atau siaran langsung.

Akaun tersebut mempunyai lebih 30,000 pengikut.

Loading...
Terkini