comscore
Tumpuan :
Nasional

Akademi Keselamatan Siber Malaysia mula beroperasi suku kedua 2025

Menteri Digital, Gobind Singh Deo

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Program Pembangunan Profesional Keselamatan Siber sedia ada akan ditransformasikan menjadi Akademi Keselamatan Siber Malaysia.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, akademi berkenaan yang akan ditubuhkan CyberSecurity Malaysia dan mula beroperasi pada suku kedua tahun depan.

“Akademi ini akan memberi tumpuan terhadap beberapa bidang kritikal seperti Pengendalian dan Tindak Balas Insiden, Tadbir Urus Keselamatan Siber, Jaminan dan Penilaian Keselamatan, Forensik Digital serta Kriptografi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Isnin lalu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan penubuhan akademi tersebut setelah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (MTVET) yang dipengerusikannya.

Menurut Gobind, langkah penubuhan akademi itu mendukung aspirasi Kementerian Digital untuk memperbanyakkan lagi bakat digital terutama dalam bidang keselamatan siber.

Ujar beliau, akademi terbabit akan mengisi kekosongan tenaga kerja mahir bidang keselamatan siber dengan menawarkan kursus yang berpaksikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Katanya, jumlah keperluan tenaga kerja keselamatan siber di negara ini dijangka meningkat kepada 26,430 pada penghujung 2025 dan seterusnya kepada 28,068 pada 2026.

Angka itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan oleh CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) serta Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) pada 2023.

Sehingga Julai lalu, CyberSecurity Malaysia merekodkan sebanyak 16,765 tenaga kerja yang berpengetahuan dalam bidang keselamatan siber.

“Ia (akademi) juga akan berfungsi sebagai pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber negara, di mana akademi tersebut akan menilai kepakaran, menyelaras penyelidikan serta membangunkan keupayaan keselamatan siber secara menyeluruh dan berterusan.

“Ia juga akan memperkukuh keberkesanan negara dan industri dalam menangani isu-isu keselamatan siber,” katanya.

Mengulas lanjut, jelas Gobind, Akademi Keselamatan Siber Malaysia akan menjadi pusat pembangunan kapasiti keselamatan siber TVET premier terutama untuk penjawat awam, tenaga kerja industri dan akademia.

“Akademi ini akan menawarkan program pensijilan jangka pendek dan sederhana termasuk program micro-credential dan nano-credential serta menyediakan silibus keselamatan siber yang boleh diguna pakai oleh universiti, politeknik dan kolej tempatan,” katanya.

Selain itu, Gobind berkata, akademi berkenaan turut merangkumi pelaksanaan strategi pemasaran dan pensijilan profesional untuk memperkukuh kerjasama antarabangsa.

“Akademi ini juga akan membangunkan bakat keselamatan siber TVET bertaraf antarabangsa dengan matlamat untuk mentransformasikan Malaysia menjadi hab keselamatan siber global serta mempromosi penerapan nilai dan etika murni dalam keselamatan siber.

“Ia bagi memperkukuhkan disiplin kendiri individu terhadap ancaman teknologi digital,” katanya.

Loading...
Terkini