comscore
Tumpuan :
Nasional

“Akan datang kena pikiaq banyak kali lah, tak mau buat perangai lagi”

Pelakon Sharnaaz Ahmad dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni kondominium, Jun tahun lalu. – Foto: NSTP

KUALA LUMPUR: “Akan datang kena pikiaq (fikir) banyak kali lah, tak mau (tak nak) buat perangai lagi,” kata pelakon kontroversi, Sharnaaz Ahmad sebaik Mahkamah Majistret melepas dan membebaskannya atas tuduhan menumbuk seorang pengawal keselamatan yang juga penghuni kondominium, Jun tahun lalu.

Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad, 38, berkata, banyak pengajaran dilalui selepas lebih setahun turun naik mahkamah.

“Saya bersyukur dan sekarang sudah bebas, ini soal reputasi dan perjalanan karier saya. Saya dah banyak belajar dan akan terus belajar,” katanya ditemui selepas prosiding mahkamah hari ini.

Ditanya mengenai perancangannya, Sharnaaz berkata, selepas ini dia akan bercuti dengan anaknya.

“Saya rasa kena tengok balik diri saya, saya nak masuk 40 (tahun) dah, perangai masih macam budak lagi. Apa jadi dalam hidup saya satu story (cerita), saya rasa kalau tutup buku, story saya akan jadi menarik,” katanya.

Terdahulu, dalam prosiding hari ini, Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim memerintahkan pelakon itu dilepas dan dibebaskan selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak.

Pada 18 Januari lalu, Sharnaaz mengaku tidak bersalah atas dakwaan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Izzul Islam Awang, 27, di kawasan lif, pintu masuk sebuah blok di sebuah kondominium di Jalan Dutamas di sini pada 8.30 malam, 16 Jun 2022.

Pelakon drama bersiri ‘Bukan Kerana Aku Tak Cinta’ itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini