comscore
Tumpuan :
Nasional

Akibat ditipu ‘pegawai SKMM’ dan ‘polis’, pekebun sawit rugi RM290,000

Foto hiasan

BATU PAHAT: Seorang pekebun sawit berputih mata selepas kerugian hampir RM300,000 akibat diperdaya lelaki menyamar pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan pegawai polis.

Mangsa, lelaki warga emas berusia 61 tahun pada mulanya menerima panggilan daripada seorang wanita yang mendakwa ‘pegawai SKMM’ yang menyatakan namanya terbabit dalam sindiket penipuan akaun bank.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani berkata, panggilan itu kemudian disambung kepada ‘pegawai polis’ dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Menurutnya lagi, pegawai terbabit memintanya membuat laporan polis melalui telefon.

“Dalam perbualan telefon, suspek memberitahu mangsa boleh diikat jamin tetapi semua asetnya akan dibekukan kerana kes masih dalam siasatan.

“Mangsa juga diminta mengikuti segala prosiding mahkamah sebelum meminta memindahkan wang ke dalam beberapa akaun bagi tujuan siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Shahrulanuar lagi, antara 6 hingga 15 September mangsa melakukan beberapa pemindahan wang kepada enam akaun berbeza secara berperingkat sehingga berjumlah RM290,000.

Mangsa akhirnya berasa tertipu lalu membuat laporan di Balai Polis Parit Sulong, di sini semalam.

“Polis masih menjalankan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Polis meminta orang ramai berhati-hati sekiranya menerima panggilan nombor tidak dikenali serta membuat semakan dengan pihak berkuasa,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini