comscore
Tumpuan :
Nasional

Akibat mulut, pengurus syarikat temui ajal

Foto hiasan

MELAKA: Padah kerana mengeluarkan kata kata tidak senonoh, seorang pengurus syarikat maut selepas terbabit dalam pergaduhan di kawasan tempat letak kereta di Jalan Kenanga, di sini, semalam.

Kejadian dikatakan berlaku antara jam 4 hingga 4.15 pagi.

Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit mangsa berusia 35 tahun disahkan meninggal selepas dibawa ke Hospital Melaka, kira-kira 5.20 pagi, untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, sebelum kejadian kira-kira 2 pagi itu, mangsa dipercayai mabuk selepas berhibur pergi ke gerai berhampiran lokasi kejadian untuk makan dan minum bersama rakan-rakannya.

“Bagaimanapun selepas makan, berlaku pertengkaran antara mangsa yang juga pengurus syarikat, dengan seorang ahli perniagaan dan pengawal peribadi lelaki terbabit masing-masing berusia 36 dan 27 tahun.

“Pertengkaran itu kemudian membawa kepada pergaduhan yang didakwa berpunca apabila mangsa ada bercakap kepada rakan-rakannya dengan mengatakan wanita yang bersama ahli perniagaan terbabit mempunyai payudara yang besar,” katanya.

Menurutnya, pengawal peribadi kepada ahli perniagaan terbabit yang mendengar percakapan itu kemudian menegur mangsa dengan mengatakan wanita terbabit adalah ‘madamnya’.

“Pertengkaran kemudian menjadi tegang dan berlaku pergaduhan tolak menolak serta tumbuk-menumbuk antara mangsa, pengawal peribadi dan juga ahli perniagaan terbabit.

“Mangsa yang cedera dan tidak sedarkan diri kemudian dibawa ke hospital oleh dua rakannya untuk menerima rawatan, sebelum disahkan meninggal dunia dan hasil bedah siasat mendapati lelaki terbabit meninggal akibat tikaman,” katanya.

Christopher berkata, susulan daripada itu pasukan polis kemudian melakukan tangkapan ke atas tujuh individu termasuk ahli perniagaan terbabit dan pengawal peribadinya.

“Kesemua tangkapan itu berusia antara 26 hingga 38 tahun termasuk teman wanita ahli perniagaan berkenaan yang berusia 26 tahun.”Pihak polis juga turut membuat rampasan iaitu senjata yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan iaitu pisau dan batang besi,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Loading...
Terkini