comscore
Tumpuan :
Nasional

Akibat pokok tumbang, 5 kereta dan satu lori rosak teruk 

PETALING JAYA: Lima kenderaan rosak akibat ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan PJU 5/15, Kota Damansara, di sini, susulan hujan lebat, petang tadi.

Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor memaklumkan ke semua kenderaan terbabit sedang diparkir di lokasi kejadian.

Susulan laporan diterima bomba pada jam 3.36 petang, sepasukan anggota bersama jentera FRT dari Balai Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seksyen 7 kemudian digerakkan ke lokasi untuk tugas memotong dan pembersihan.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata lima kenderaan yang rosak ialah sebuah Perodua Axia, Proton Saga BLM, Nissan Almera, Honda City dan Honda City Hatchback.

“Semua kenderaan sedang diparkir dan kejadian tidak membabitkan mangsa,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, katanya tujuh batang pokok turut dilaporkan tumbang dan menghalang laluan di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara dekat sini, petang tadi.

Katanya, kejadian pada jam 3.31 petang tadi itu tidak membabitkan mangsa dan kerja memotong dan mengalihkan pokok tumbang dijalankan sepasukan anggota dari BBP Damansara.

“Kita turut menerima laporan kejadian pokok tumbang di Jalan KIP, Taman Perindustrian KIP berhampiran Kepong yang menimpa sebuah lori.

“Kejadian dilaporkan pada jam 3.25 petang itu menyebabkan pemandu lori terperangkap di bahagian pemandu. Bagaimanapun, mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai,” katanya.

Katanya, pemandu lori, seorang lelaki berusia 46 tahun terselamat tanpa mengalami kecederaan dan sepasukan anggota dari BBP Sungai Buloh ke lokasi untuk mengalihkan pokok yang tumbang.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini