comscore
Tumpuan :
Nasional

AKM Pahang: Lebih 20 Majikan Sedia Peluang Pekerjaan Menerusi Karnival Kerjaya

Poster Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Kuantan, Pahang

KUANTAN: Lebih 20 majikan akan menyediakan pelbagai peluang pekerjaan menerusi Karnival Kerjaya Jamin Kerja sempena penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sultan Ahmad Shah (SASICC) di sini, selama tiga hari bermula Jumaat ini.

Ketua Bahagian Perkhidmatan Pekerjaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Roshaimi Mat Rosely berkata karnival kerjaya yang bermula dari pukul 9 pagi hingga 5 petang itu juga ialah platform terbaik bagi pelajar lepasan universiti atau individu yang kehilangan pekerjaan untuk mendapatkan pekerjaan baharu.

Beliau berkata jawatan yang ditawarkan merangkumi perkhidmatan sokongan dan eksekutif.

“Penduduk di Pahang boleh merebut peluang ini untuk mencari kerja kerana di karnival ini mungkin ada pekerjaan yang bersesuaian dengan mereka.

“Namun, kami ingin nasihatkan pencari kerja yang hadir supaya bersedia kerana terdapat majikan melakukan temu duga dan terus menawarkan kerja pada hari yang sama,” katanya pada program temu bual Apa Khabar Malaysia yang disiarkan menerusi Bernama TV hari ini.

Mengulas lanjut, Roshaimi berkata pencari kerja juga boleh mendapatkan khidmat nasihat mengenai perkerjaan yang sesuai dengan mereka daripada pegawai perkhidmatan pekerjaan di karnival itu.

Sebarang pertanyaan orang ramai boleh melayari portal MYFutureJobs menerusi pautan www.myfuturejobs.gov.my.

AKM yang berlangsung di Pahang diterajui oleh Kementerian Pertahanan melibatkan penyertaan 25 kementerian, usahawan industri kecil dan sederhana, pihak swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) yang masing-masing akan mengetengahkan perkhidmatan serta produk mereka.-BERNAMA

Loading...
Terkini