Oleh: Fareez Azman
SEPANG: Kerajaan hari ini melancarkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dibawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai agensi tunggal dalam mengawal keselamatan pintu masuk negara.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, penubuhan agensi itu dapat mewujudkan kawalan sempadan yang lancar dan cekap selain mengurangkan birokrasi.

“Penubuhan AKPS menandakan komitmen kerajaan MADANI yang tidak berbelah bahagi untuk mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan yang lancar dan cekap.
“AKPS akan berfungsi sebagai agensi tunggal di sempadan, menyatukan kepakaran dan sumber dari pelbagai jabatan kerajaan untuk menyelaraskan operasi pintu-pintu di seluruh negara, sama ada lapangan terbang, sempadan darat dan pelabuhan,” jelasnya.
Tambah Fadillah, AKPS menggabungkan kepakaran serta anggota pelbagai agensi terlibat, antaranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
Mengulas lanjut tambah Fadillah, lima objektif utama turut digariskan dibawah AKPS antaranya menyatukan fungsi penguatkuasaan sempadan dibawah satu arahan, memudahkan aktiviti perdagangan dan perjalanan dan memperkukuhkan aspek keselamatan.
“Dalam kita meluncurkan inisiatif ini, adalah penting untuk mengiktiraf kepentingannya dalam konteks Pengerusi ASEAN 2025.
“Malaysia mempunyai sejarah kepimpinan yang membanggakan dalam ASEAN dan dengan AKPS, penting untuk kita mengesahkan komitmen kita terhadap kerjasama dan integrasi serantau.
“Dengan meningkatkan keupayaan kawalan sempadan, kita bukan sahaja menjaga kedaulatan malah memudahkan pergerakan supaya lebih lancar merentasi sempadan dalam rantau ASEAN,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan AKPS di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil serta Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.