comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta 559: Perbuatan ganggu rumah tangga satu kesalahan hukum syarak – Naim

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar. – Foto fail

KUALA LUMPUR: Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) memperuntukkan perbuatan mengganggu keharmonian rumah tangga sebagai suatu kesalahan selaras dengan hukum syarak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, ia sebagaimana diperuntukkan di bawah seksyen 36 mengenai kesalahan memujuk lari perempuan bersuami dan seksyen 37 mengenai kesalahan menghalang pasangan yang sudah bernikah daripada hidup sebagai suami isteri.

Peruntukan lain kata beliau, seksyen 38 mengenai kesalahan menghasut suami atau isteri supaya bercerai atau mengabaikan kewajipan.

“Peruntukan-peruntukan ini secara tidak langsung dapat menjamin keharmonian rumah tangga selaras dengan kehendak syarak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jika dilihat daripada aspek hukum syarak juga, beliau berkata, Islam sangat mementingkan keharmonian rumah tangga dan ikatan perkahwinan pasangan suami isteri.

“Islam melarang perbuatan mengganggu isteri orang atau sebarang usaha untuk meruntuhkan rumah tangga,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan beliau bagi mengulas keputusan Mahkamah Persekutuan yang memutuskan bahawa seksyen 498 Kanun Keseksaan sebagai tidak berperlembagaan.

Panel lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara mengisytiharkan seksyen berkenaan tidak berperlembagaan kerana ia melanggar prinsip asas berhubung kesamarataan jantina.

Mengulas keputusan mahkamah itu, Mohd Na’im, berkata, penghakiman dibuat berdasarkan pengetahuan, pengalaman dan kebijaksanaan hakim berpandukan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang dalam mencari penyelesaian yang terbaik.

Justeru, katanya semua pihak diseru menghormati keputusan berkenaan.

“Pemansuhan akta itu tidak menjejaskan peranan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) khususnya agensi-agensi seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) serta lain-lain agensi untuk terus melaksanakan program pengukuhan institusi keluarga yang menghayati nilai-nilai sakinah, mawaddah dan rahmah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru umat Islam terutama suami dan isteri untuk bersama-sama berganding bahu bagi melaksanakan kewajipan masing-masing serta saling memperkukuh institusi keluarga.

“Masing-masing mempunyai kewajipan tersendiri untuk membangunkan keluarga demi anak dan generasi Al-Falah. Semua pihak juga dipohon saling meningkatkan akhlak dalam pergaulan seharian agar sentiasa sejajar dengan pedoman ajaran agama Islam.

“Agensi hal ehwal agama bersama pertubuhan Islam dan pengurusan masjid adalah diseru untuk memperhebatkan program pendidikan kepada masyarakat bagi menghayati kepentingan keutuhan sesebuah keluarga demi kehidupan yang sejahtera.

Loading...
Terkini