Tumpuan :
Nasional

Akta 588 yang dipinda akan disertakan dengan elemen huraian – Fahmi

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.- Foto fail

Oleh: Vinsla Santiran

KUALA LUMPUR: Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588) dipinda dengan menambahbaik beberapa perkara antaranya memasukkan huraian yang lebih terperinci bagi perkara yang digariskan dalam akta berkenaan.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, huraian tersebut membolehkan pihak berkuasa dan badan kehakiman mentafsirkan tindakan dan keputusan yang sewajarnya diambil bagi kesalahan di bawah akta itu.

“Dua perkara penting yang diperkenalkan ialah menjadikan pedofilia dan penjualan pornografi dalam talian sebagai kesalahan boleh tangkap.

“Ini bagi memastikan pihak berkuasa dapat bertindak lebih tegas terhadap penjenayah yang memusnahkan masa depan kanak-kanak”, katanya dalam sidang media selepas program Jelajah Peduli Ummah Lembah Pantai di sini hari ini.

Fahmi berkata pindaan itu turut memperincikan definisi kesalahan dalam Seksyen 233, termasuk menggantikan istilah ‘jelek’ dengan ‘jelek melampau’.

Selepas 26 tahun dikuatkuasakan, Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Pindaan) 2024 dibentangkan bagi meminda Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 (Akta 588).

Bacaan kali pertama RUU berkenaan dibentangkan Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil di Dewan Rakyat 2 Disember lalu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini