comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta 852: Dakwaan persatuan peniaga tidak munasabah – Menteri Kesihatan

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad ditemui di sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di Putrajaya, hari ini.- FOTO: NSTP

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menyangkal dakwaan persatuan peniaga kononnya pelaksanaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) memberi tekanan kewangan yang besar kepada peniaga kecil.

Menyifatkan dakwaan itu tidak munasabah, beliau berkata, kos untuk menaik taraf kabinet pameran produk merokok tidak memerlukan kos perbelanjaan yang terlalu besar.

“Sejujurnya ia ‘menyentuh imaginasi saya’ (touching my imagination) kerana apa yang perlu dibuat hanya memasang penutup kabinet pameran dan mematuhi peraturan yang ditetapkan (dalam Akta 852).

“Saya tak rasa untuk pasang penutup menelan kos sehingga RM6,000, mungkin sekitar beberapa ratus ringgit sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024 Peringkat Kebangsaan, di sini, hari ini.

Media sebelum ini melaporkan, Persekutuan Persatuan-Persatuan Peniaga-Peniaga Barang-Barang Runcit Malaysia (FSGMAM) meminta Kementerian Kesihatan (KKM) menangguhkan pelaksanaan larangan pameran produk merokok di bawah Akta 852.

Presidennya, Hong Chee Meng mendakwa, larangan itu dilaksanakan tergesa-gesa tanpa sebarang perundingan dengan peruncit mengenai tempoh pematuhan.

Dakwanya, langkah itu membebankan perniagaan kecil tanpa sebarang pertimbangan kerana anggaran menunjukkan bahawa setiap peruncit mungkin menanggung kos sehingga RM6,000 untuk mematuhi larangan pameran.

“Secara keseluruhan, kos ini boleh mencecah hampir RM300 juta untuk pelaksanaan di seluruh negara menjelang 1 April 2025,” dakwa Chee Meng.

Mengikut Akta 852, pameran produk merokok di kedai serbaneka perlu menggunakan kabinet tertutup selain mempamerkan tanda larangan jualan kepada orang belum dewasa (OBD).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini