Oleh: Fatin Hanani Sahimi
KUALA LUMPUR: Tiada isu patah balik berhubung keputusan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), tegas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Menurutnya, pelaksanaan yang dilakukan mengambil segala bentuk komitmen dan pendekatan yang berhemah.
“Kita akan melaksanakannya dengan tanggungjawab, sebab apa yang kita mahukan khususnya pemilik dan pemain industri keseluruhan rantaian bekalan itu bersama dengan kami.
“Mereka harus bersikap prihatin dengan memahami kenapa persoalan ini perlu dikawal selia dan ia amat mustahak untuk mereka mengetahui tujuan Kementerian kesihatan (KKM) membentangkan Akta 852 ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Pelancaran Cik Era Chatbot di sini hari ini.
Terdahulu, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mengingatkan KKM agar tidak membuat ‘pusingan U’ berhubung keputusan Akta 852 dan tidak mengadakan sebarang perbincangan dengan industri komersial berhubung perkara itu.
CAP memaklumkan terdapat juga beberapa industri komersial seperti restoran makanan, minuman dan kedai runcit yang menentang Akta 852.
Justeru, KKM diminta untuk tidak melayan cadangan atau nasihat daripada industri komersial ini.
Tambahnya, sebarang nasihat atau cadangan daripada industri komersial mengenai antirokok yang mahu Akta 852 ditangguhkan, tidak akan mengubah keputusan dibuat kerajaan itu.
“Kerajaan masih terbuka untuk membuat rundingan dan melakukan libat urus namun bukan untuk membuat keputusan berpatah balik,” ujarnya.
Akta 852 yang diwartawakan bermula 2 Februari lalu adalah usaha untuk mengekang penggunaan produk tembakau serta mengurangkan kemudaratan akibat merokok dan penggunaan lain-lain produk tembakau termasuk rokok elektronik atau vape.
Pada 1 Oktober lalu, akta itu dikuatkuasakan dengan merangkumi peraturan pendaftaran, penjualan, pembungkusan, pelabelan, dan larangan merokok di tempat awam.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.