Tumpuan :
Nasional

Akta baharu pekerja gig dibentang di Dewan Rakyat bulan depan

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad (tengah) menyaksikan penyerahan surat tawaran kerja di Dewan Datuk Ariffin Said, Ibu Pejabat Kesedar Gua Musang, hari ini. – FOTO: NSTP

GUA MUSANG: Akta baharu berkaitan pekerja sektor gig akan dibentang buat kali pertama di Dewan Rakyat, Disember ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, akta berkenaan sudah di peringkat draf akhir untuk pembentangan.

“Akta itu penting untuk menjaga kebajikan pekerja gig yang bekerja sendiri dan tanpa majikan,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya MyFutureJobs PERKESO Oghe Kelate 2024 di sini, hari ini.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dilapor akan menerbitkan laporan dan hasil kajian Kerangka Dasar Pekerjaan dan Perundangan Dalam Ekonomi Gig, Disember ini.

Kajian itu dilaksanakan sebagai usaha menangani isu utama dihadapi pekerja gig dan memastikan kebajikan mereka terjamin.

Abdul Rahman berkata, akta itu boleh membantu membangunkan sektor ekonomi gig yang lebih mampan dan berdaya saing, sekali gus memberi sumbangan lebih besar kepada ekonomi negara.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, tiada kelonggaran diberi kepada majikan yang tidak mampu menawarkan gaji minimum kepada pekerja apabila dikuatkuasakan mulai Februari 2025.

“Kalau ada yang buat laporan kita tidak boleh ambil laporan sebab berkuat kuasa pada Februari 2025,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini