comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta dana politik sepatutnya dibentang bersama Akta Lompat Parti sebelum PRU15 – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.

KUALA LUMPUR: Akta Pendanaan Politik sepatutnya dibentang bersama Akta Lompat Parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu supaya ia dapat dilaksanakan secara bersama.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, perkara itu tidak dibuat kerana kebanyakan parti merasakan akta berkaitan lompat parti, perlu diutamakan terlebih dahulu atas kesedaran tidak mahu ahli Parlimen bertukar parti selepas pilihan raya.

Beliau berkata, ketika ini, tiada undang-undang yang berkuat kuasa membenarkan sumbangan dana kepada parti politik.

“Ini menyebabkan penyaluran dana kepada parti politik, boleh disabitkan sebagai kesalahan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, jika dikesan mempunyai elemen rasuah.

“Dari segi akta yang ada hari ini, perbuatan penyaluran sumbangan itu tidak dibenarkan walaupun niat mereka hanya memberi derma atau sumbangan tanpa mengharapkan balasan.

“Ketika ini, ada yang memberi sumbangan kepada semua parti politik tapi mereka merahsiakan atas niat mereka menjaga hubungan dan ada yang tidak mahu mendedahkan kerana tidak mahu orang yang tidak mendapat sumbangan mengetahuinya.

“Ada sumbangan atas niat baik atau bantu, tetapi tidak ada undang-undang yang memberi legitimasi kepada tindakan itu,” katanya kepada media di sini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai Akta Pendanaan Politik yang sejak kebelakangan ini dibangkitkan banyak pihak.

Parti BERSATU membangkitkan isu berkenaan dan menyatakan sebahagian besar parti politik menerima sumbangan daripada badan korporat.

Justeru, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mencabar SPRM menyiasat parti lain yang mungkin mendapat sumbangan dana dari luar negara.

Muhyiddin menegaskan gesaannya adalah wajar kerana parti lain belum mengisytiharkan sumber dana mereka.

Azalina menjelaskan, kerajaan hari ini tidak patut disalahkan berhubung isu ketiadaan akta khusus berkaitan dana politik.

Katanya, Kerajaan Perpaduan ini mewarisi undang-undang yang sedia ada daripada tindakan kerajaan terdahulu.

“Sepatutnya Akta Pendanaan Politik ini dibentangkan sebelum PRU15, tetapi ini tidak berlaku sebaliknya semua tertumpu kepada Akta Lompat Parti kerana mereka tidak melihat isu ini beri kesan yang besar.

“Penggubalan Akta Pendanaan Politik penting bagi memastikan sumbangan kepada parti politik tidak termasuk dalam kategori rasuah, lebih-lebih lagi membabitkan parti pemerintah yang mempunyai kapasiti untuk memberikan balasan atas sumbangan itu,” katanya.

Beliau menegaskan Akta Pendanaan Politik tetap diberi perhatian oleh kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyebabkan ia kini dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen.

“Dengan merujuk kepada Jawatankuasa Pilihan ini, perbincangan akan lebih mudah kerana membabitkan semua wakil parti politik.

“Mungkin boleh dibincangkan secara khusus bagaimana derma politik mungkin boleh diberikan pengecualian cukai untuk dimasukkan dalam akta itu nanti,” katanya

Azalina berkata, beliau secara peribadi mahu memberikan tumpuan terhadap akta berkaitan kebankrapan kerana ia membabitkan kepentingan rakyat secara keseluruhannya.

Katanya, Akta Pendanaan Politik ini untuk kepentingan parti politik seperti akta lompat parti yang dua pernah dua kali di bawa ke Parlimen melalui Rang Undang-undang Persendirian oleh beliau sendiri.

“Macam-macam saya nak tengok (tambah baik akta), tapi secara peribadi saya nak selesaikan masalah rakyat, akta berkaitan kebankrapan.

“Kalau nak tumpu undang-undang pendanaan politik tak sempat. Kenapa sebelum ini tak buat, jadi bila kita adakan pilihan raya umum (PRU) ada akta lompat parti, sepatutnya masa nak hadapi PRU ada akta pendanaan politik,” katanya.

Pada 4 Mac lalu, Azalina berkata pindaan Akta Insolvensi 1967 (Akta 360) yang akan dilakukan sekali lagi bakal membolehkan sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap mendapat pelepasan kebankrapan mereka.

Cadangan pindaan itu akan dibawa ke Parlimen pada awal bulan depan dan pindaan yang dibuat bagi menambah baik sistem pentadbiran kebankrapan di negara ini.

Melalui pindaan akta itu nanti, sekurang-kurangnya 130,000 orang daripada 260,000 kes bankrap akan mendapat pelepasan kebankrapan mereka. — BERITA HARIAN

Loading...
Terkini