comscore
Tumpuan :
Nasional

Akta kawalan produk merokok dikuatkuasakan bermula tahun ini

KUALA LUMPUR: Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 (Akta 852) akan dikuatkuasakan bermula tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Rang Undang-Undang (RUU) antimerokok yang diluluskan di Dewan Negara pada Disember lalu itu sudah pun diwartakan Februari lalu.

“Ia akan dikuatkuasakan sebaik saja peraturan dan perintah berkaitan (akta) diwartakan. Kita jangka undang-undang ini akan mula dilaksana tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ditemui media selepas Karnival World No Tobacco Day (WNTD SEGARUN) sempena Hari Tanpa Tembakau Sedunia 2024, di Dataran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, usaha melawan tabiat merokok memerlukan pendekatan menyeluruh kerajaan dan masyarakat dengan penyertaan semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), guru, peruncit, ahli politik, badan penguatkuasaan serta rakyat.

“Kita mesti bersatu padu dalam membendung budaya merokok dan vape. Justeru bagi yang tidak merokok, jangan mulakan. Bagi yang merokok pula, dapatkan perkhidmatan di fasiliti KKM dan sebagainya bagi menghentikan tabiat berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, akta itu akan menyaksikan kawalan lebih ketat terhadap penjualan produk vape ke atas kanak-kanak bawah umur.

Dalam pada itu, Dr Dzulkefly berkata, sebanyak 26 notis dikeluarkan kepada individu tahun lalu kerana menjual produk berkenaan kepada kanak-kanak, manakala dua notis sama dikeluarkan tahun ini.

Beliau berkata, antara faktor penarik untuk kanak-kanak dan remaja mula menghisap vape adalah peranti menarik dan promosi berleluasa tanpa kawalan di media sosial berikutan penguatkuasaan akta baharu ini belum lagi bermula.

Akta itu antara lain memperuntukkan larangan penjualan dan pembelian produk tembakau, bahan merokok atau produk pengganti tembakau serta menyediakan sebarang perkhidmatan merokok kepada kanak-kanak di bawah umur.

Mengenai Hari Tanpa Tembakau Sedunia, Dr Dzulkefly berkata, temanya iaitu ‘Lindungi Kanak-kanak daripada Pengaruh Industri Tembakau’ bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai risiko merokok dan pengaruh industri tembakau terhadap kanak-kanak dan remaja.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini