Tumpuan :
Nasional

Akta maritim baharu Filipina langgar sempadan Sabah: Tangani secara berhemah sebagai keluarga ASEAN – Hajiji

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah selepas hadir pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025.

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah berharap isu akta baharu Filipina yang menyentuh soal tuntutan terhadap negeri itu, selain melanggar sempadan maritim negeri dapat diselesaikan secara baik dan berhemah sebagai satu keluarga ASEAN.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata pendekatan itu bersandarkan kepada Filipina sebagai negara jiran terdekat Malaysia melalui Sabah dan kerajaan negeri ujar Hajiji telah mengambil maklum isu berkenaan melalui Wisma Putra.

“Kerana ia berlaku di perairan negeri kita di Sabah kita sudah juga dimaklumkan oleh Wisma Putra dan ini kita serahkan Wisma Putra ataupun kerajaan persekutuan dan saya mendapat makluman kita telahpun menghantar nota bantahan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk diselesaikan.

“Memang kita akan berpandukan kepada sempadan negara kita dan kalau saya tengok peta tu dia termasuk sedikit dalam sempadan negara kita, kita harap dapat diselesaikan secara baik kerana negara Filipina adalah jiran kita yang saya rasa perlu kita tangani secara baik dan berhemah sebagai satu keluarga ASEAN,” katanya.

Hajiji ditemui media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata demikian selepas hadir pada pembentangan Belanjawan Negeri 2025 yang dibentangkan Menteri Kewangan Negeri Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.

Semalam Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada Filipina susulan negara itu meluluskan dua akta baharu yang menyentuh soal tuntutan terhadap Sabah, selain melanggar sempadan maritim negeri berkenaan.

Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa Kementerian Luar, di Dewan Rakyat, semalam.

Akta baharu itu juga ujar Mohamad menetapkan persempadanan baharu Filipina yang melangkaui peta baharu Malaysia yang dibuat pada 1979.

Minggu lalu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr dilapor menandatangani dua undang-undang baharu itu bertujuan memperkukuh tuntutan negara itu ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan dengan mentakrifkan zon maritim dan laluan laut.

Dua undang-undang baharu itu menuntut hak maritim serta kedaulatan ke atas kawasan dipertikaikan di Laut China Selatan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini