Tumpuan :
Nasional

Aktiviti rakit arus deras di Kampar dihentikan sehingga arahan lanjut- Pegawai Daerah Kampar

Oleh: Kumaran Rajamoney

KAMPAR: Semua aktiviti rakit arus deras di daerah Kampar dihentikan serta merta, dan akan tertakluk kepada arahan lanjut dari pihak berkuasa.

Pegawai Daerah Kampar, Nazrul Fazami Mohamad berkata keputusan itu dibuat susulan perbincangan yang diadakan bersama ketua agensi-agensi penguatkuasaan di daerah itu, susulan kejadian tiga individu lemas petang tadi.

“Saya telah berbincang bersama pihak Polis, Bomba dan Angkatan Pertahanan Awam. Kita ambil keputusan untuk hentikan aktiviti riadah ini sehingga dapat arahan lanjut dari pihak berkuasa.”

“Pihak kami akan adakan post mortem untuk mengetahui punca kejadian, dan pengendali perkhidmatan riadah disini akan diberikan makluman bila mereka boleh kembali beroperasi,” katanya.

Beliau juga meminta pengendali perkhidmatan riadah mengambil pengajaran dari insiden kematian tiga peserta rakit arus deras, dan memberikan keutamaan kepada isu keselamatan.

Terdahulu, tiga individu termasuk seorang wanita maut selepas terlibat dalam aktiviti rakit arus deras di Sungai Jahang, di sini petang tadi.

Kesemua mangsa dipercayai terjatuh akibat kepala air, dan lemas dibawa arus deras.

Mangsa merupakan pegawai perkhidmatan awam, yang sedang menyertai program ‘team building’ di situ.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini