comscore
Tumpuan :
Nasional

Aktiviti Ternakan Babi Di Lukut Akan Dipantau

Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berucap ketika program Sambutan Hari Ozon Sedunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bandar Gamuda Cove, Dengkil.

DENGKIL : Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) meminta Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) memantau aktiviti penternakan babi di kawasan Sungai Rambai, Lukut, yang didakwa menyebabkan Sungai Rambai, tercemar.

Menterinya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau sudah menerima laporan berkenaan aktiviti penternakan babi di kawasan sungai itu dari Jabatan Alam Sekitar (JAS).

Menurutnya, JPV perlu bertanggungjawab kepada peraturan yang dikuatkuasakan dan pada masa sama juga meminta kerajaan negeri bersama-sama berusaha supaya peraturan penternakan babi di kawasan itu dapat dipatuhi dan sumber air juga dapat dijaga.
Katanya, oleh kerana lesen dikeluarkan JPV, jabatan itu bertanggungjawab memantau perkara itu.

Beliau juga sudah memaklumkan kepada timbalannya bagi mendapatkan laporan untuk diserahkan kepada kerajaan negeri supaya tindakan dapat diambil.

“Kita mahu tahap pencemaran kategori lima sungai ini dapat diturunkan selepas dikategorikan pencemaran tahap kritikal,” katanya kepada pemberita pada sidang media Sambutan Hari Ozon Se Dunia 2022 Peringkat Kebangsaan di Bandar Gamuda Cove di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan, penemuan air berwarna merah di dalam longkang yang mengalir ke Sungai Rambai.
Sungai itu tercemar pada Kelas Lima berdasarkan Standard Kualiti Air Kebangsaan selepas analisis makmal dibuat.

Air berwarna merah yang mengalir itu dikesan mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) babi manakala di Sungai Rambai berhampiran Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Tanah Merah Site A tidak dapat dikesan berkemungkinan ianya sudah terurai.

Tuan Ibrahim berkata, pihaknya berharap kerajaan negeri dan JPV terus memantau isu itu dan berusaha ke arah melestarikan sungai berkenaan.

Katanya, penternakan babi di kawasan itu melebihi jumlah dan semua pengusaha dinasihatkan mempunyai lesen yang sah dan berhadapan tindakan jika gagal berbuat demikian.-BERITA HARIAN

Loading...
Terkini