comscore
Tumpuan :
Nasional

‘Aku gerak dulu’, kata-kata terakhir kepada rakan serumah

KOTA TINGGI : Empat mangsa yang terbabit kemalangan di Kilometer 50 Lebuhraya Senai-Desaru di sini, petang semalam dikatakan dalam perjalanan pulang daripada aktiviti berkhemah sempena cuti Hari Kemerdekaan.

Bagaimanapun malang tidak berbau apabila kereta Perodua Bezza mereka terbabit kemalangan kira-kira jam 2 petang yang mengakibatkan tiga daripadanya meninggal dunia dan seorang lagi parah.

Artikel berkaitan: Nahas tiga kenderaan di Lebuhraya Senai-Desaru, 3 disahkan maut

Dalam kejadian itu, mangsa, Iqbal Faiz Mat Sah, 20, Nurul Afrahrina Sazli, 19 dan Nurina Izzatie Kamarul Azman, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Seorang lagi mangsa, Izznur Harith Safwan Nordin, 19, kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Keempat-empat mangsa adalah pelajar di Kolej Poly-Tech MARA, Batu Pahat.

Menurut Mohamad Hakim Md Nor, 19, yang juga rakan serumah kepada Iqbal Faiz, empat sekawan itu bersama beberapa rakan lain merancang aktiviti perkhemahan berkenaan sejak seminggu lalu.

Katanya, mereka menyewa kereta untuk berkhemah di Pantai Batu Layar di sini, dan bertolak pada kelmarin.

“Ketika kejadian, mereka sebenarnya sudah dalam perjalanan pulang ke Batu Pahat kerana esok (hari ini) kami ada kelas.

“Saya masih ingat bila Iqbal Faiz hendak keluar ambil kereta sewa, dia sempat cakap ‘aku gerak dulu’ dan tidak sangka itu adalah ayat terakhir sebelum saya dapat panggilan jam 3 petang menyatakan dia maut dalam kemalangan,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi (HKT) di sini, semalam.

Menurut Mohamad Hakim lagi, Iqbal Faiz adalah seorang rakan yang periang dan peramah, namun dua hari sebelum kejadian Allahyarham seolah-olah menyepikan diri.

Katanya, mereka sempat makan bersama, namun Idbal Faiz tidak dapat menghabiskan makanan kerana tiada selera.

“Kami sempat makan bersama Rabu lalu. Memang dia nampak sebab dia banyak diam, makan pun tidak habis. Selepas itu kami sudah tidak berjumpa kerana dia terbabit dengan perarakan kemerdekaan.

“Cuma pada hari Jumaat (kelmarin), sebelum dia bertolak ke Kota Tinggi kami solat Jumaat bersama-sama,” katanya

Semalam, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilaporkan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pada jam 2.15 petang.

Kemalangan itu membabitkan sebuah Perodua Bezza, sebuah Volkswagen Beetle dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV), Toyota Innova.

Katanya, Perodua Bezza yang datang dari arah Desaru cuba memotong kenderaan di hadapannya sebelum bertembung dengan Volkswagen Beetle dan Toyota Innova.

“Pemandu Volkswagen Beetle tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan Perodua Bezza, manakala MPV yang terbabit berlanggar secara depan dengan Perodua Bezza itu,” katanya.

Loading...
Terkini