comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Pesanan terakhir Salahuddin: “Semua yang ada hanyalah sementara”

Salahuddin ketika berucap pada Townhall bersama pelajar UUM Jumaat lalu, majlis rasmi terakhir disertainya. – Foto pembaca

LANGKAWI: ‘Semuanya sementara’, itulah ingatan yang diberikan Allahyarham Datuk Seri Salahuddin Ayub kepada pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) pada program Townhall Karnival Konvokesyen UUM 2023, Jumaat lalu, majlis terakhir disertainya sebelum dimasukkan ke hospital malam itu.

Menerusi video pendek yang dikongsi ramai pengguna media sosial, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) itu dilihat mengingatkan bahawa jawatan yang disandang individu dalam hidup ini hanya boleh bertahan sehingga tempoh tertentu sahaja.

“Apabila kita menjadi menteri atau mendapat jawatan tertinggi sebagai penjawat awam atau pun menjadi Ketua Polis Negara, kita kena ingat ada had masa untuk jawatan itu.

“Saya datang ke acara ini menaiki kereta rasmi bersama pemandu, pengawal peribadi dan tujuh pegawai khas. Tetapi semua ini tidak akan kekal selama-lamanya, jadi kita mesti mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian.

“Jika kita angkuh berfikir ‘Oh, saya seorang menteri tahu!’ Tetapi berapa lama ia boleh bertahan? Sampai hari kiamat kah?” tanya beliau.

Jelas dalam ucapannya, Salahuddin ikhlas mengingatkan kumpulan pelajar berkenaan bahawa jawatan yang dicapai seseorang dalam hidup hanya bersifat sementara, selain tidak perlu bermegah-megah dengan sesuatu yang sekejap itu.

Jumaat lalu, setiausaha akhbarnya, Syakirin Husnal berkata, Salahuddin, 62, dikejarkan ke HSB selepas mengalami loya dan muntah. Doktor kemudian mengesahkan ada pendarahan di otak beliau.

Beliau yang juga Ketua Pakatan Harapan Johor dan Timbalan Presiden AMANAH meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi (ICU) jam 9.23 malam tadi.

Artikel berkaitan: PM imamkan solat jenazah Allahyarham Salahuddin Ayub

Dilahirkan di Pontian, Johor, Salahuddin yang juga anak kacukan Melayu-Cina, lulus Universiti Putra Malaysia dan bekerja di sebuah bank sebelum menceburi bidang politik.

Loading...
Terkini