comscore
Tumpuan :
Nasional

Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya’ – Jemaah haji muda dapat 9A SPM

Pelajar cemerlang, Muhammad Ameer dikucup oleh ibu dan bapanya ketika menerima keputusan SPM. -Foto: NSTP

MAKKAH: “Jaga solat, jaga adab dengan mak, ayah, cikgu dan kawan-kawan kerana kita dalam keadaan sedar atau tidak mungkin menyinggung perasaan mereka, jika mereka terasa hati mungkin Allah SW akan menarik nikmat daripada kita dan itu yang kita tidak mahu,”

“Dan kita tidak mahu benda itu berlaku, maka kita perlu jaga hubungan kita lebih-lebih lagi dengan Allah SW,” hanya itu pegangan Muhammad Ameer Che Noor Azam, 18, yang mendapat keputusan cemerlang 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia tahun lalu.

Remaja yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong Utama 1, adalah antara 31,600 jemaah haji Malaysia yang datang bersama ayahnya, Che Noor Azam Osman, 63, ibu, Kamsiah Mohd Kontol, 51, dan adik, Muhammad Ammar, 17, menerima keputusan SPM selepas waktu subuh di bilik penginapan, semalam.

“Ketika di Raudah pun saya sentiasa berdoa agar mendapat keputusan terbaik untuk saya dan rakan-rakan. Alhamdulillah Allah makbulkan doa saya,” katanya yang bercita-cita melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Selain itu, bekas ketua pengawas itu pernah tersentak ketika berada di Tingkatan Empat apabila keputusannya merosot kerana terlalu leka dan terikut-ikut ketika penularan wabak COVID-19.

“Sewaktu saya di Tingkatan Empat, kita baru lepas COVID- 19. Masa itu saya baru nak belajar semula sebab masa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kelas online (dalam talian), ponteng kelas dan memang saya kurang fokus ketika PKP.

“Apabila sedar, saya tengok balik saya rasa saya perlu ubah perkara itu dan saya pergi dekat kawan saya seorang budak pandai, pelajar Cina, Soo Shi Jian. Dia tidak jemu nak mengajar saya dan beri motivasi nak capai level (tahap) dia.

“Sampai satu tahap saya cuma satu langkah saja belakang dia. Kalau dulu macam langit dengan bumi sekarang mungkin jarak sebelah-sebelah saja. Itu motivasi saya untuk terus berusaha dan terus berusaha.

“Kalau saya bangun awal saya akan buat solat tahajud dulu baru ulangkaji pelajaran. Kalau bangun lewat pukul 5 atau 6 pun saya tak rasa bersalah sebab ikut kesesuaian masa,” katanya yang berkongsi kejayaan dengan adik dan ayahnya terlebih dahulu di dalam bilik kerana ibunya pergi bersolat di Masjidil Haram.

Anak sulung daripada tiga beradik itu lagi yang mengamalkan pembelajaran fleksibel untuk mengelakkan tekanan, mendapat keputusan A+ dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik serta Fizik, selain A- dalam Bahasa Melayu dan A dalam mata pelajaran Matematik Tambahan, Kimia dan Biologi.

Sementara adiknya, Muhammad Ammar, pelajar Tingkatan Lima sekolah yang sama, berazam untuk menyaingi abangnya dan menjadikannya sebagai satu cabaran untuk belajar lebih bersungguh-sungguh kerana ketika COVID-19 dia tidak menghabiskan sesi persekolahan apabila belajar di tahfiz.

“Kini saya masuk semula ke sekolah harian pada pertengahan Tingkatan Empat yang saya anggap sangat mencabar kerana perlu mengejar mata pelajaran yang tertinggal,” katanya yang turut gembira dengan pencapaian abangnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini