comscore
Tumpuan :
Nasional

Alif nekad teruskan kempen imarah masjid

Kempen #GengSubuhMacamJumaat yang digerakkan Alif pada 1 Januari lalu, mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah. – Foto: NSTP

PETALING JAYA: Alif  Satar yang popular dengan lagu ‘Lelaki Seperti Aku’ enggan memikirkan soal pandangan negatif segelintir pihak dalam usahanya mengajak umat Islam mengimarahkan masjid melalui kempen #GengSubuhMacamJumaat.

Ada segelintir pihak kurang senang dengan inisiatif artis versatil itu dengan mendakwa kempen yang digerakkan Alif sejak November lalu, itu mendapat sambutan hanya disebabkan dirinya berstatus selebriti.

“Saya tidak peduli langsung sebab tahu apa yang dibuat ini, iaitu ajak ramai-ramai (solat secara berjemaah di masjid)… dua tiga orang ini saya tak kisah.

“Saya fikir apabila buat gerakan sebegitu, ramai yang ikut. Tidak ada kena mengena dengan kepentingan diri. Apa yang saya buat memang kerana Allah SWT,” katanya yang ditemui pada sesi tayangan khas filem baharu lakonannya berjudul Anak Perjanjian Syaitan 2 di TGV Encorp Strand Mall di sini, hari ini.

Pada masa sama, Alif menyarankan umat Islam mendirikan solat Subuh secara berjemaah di masjid berhampiran kawasan masing-masing.

“Jom ajak semua orang di sekeliling kita untuk bangun solat Subuh secara berjemaah di masjid berhampiran masing-masing.

“Insya-Allah, saya boleh sertai di mana-mana masjid nanti,” katanya.

Baru-baru ini, ada pihak melayangkan komen negatif dan menganggap mereka yang menyertai kempen #GengSubuhMacamJumaat sekadar mahu bertemu selebriti.

Namun, ramai yang mempertahankan Alif kerana beranggapan kempen itu sebagai motivasi agar umat Islam menunaikan solat berjemaah di masjid.

Pada 1 Januari lalu, kempen #GengSubuhMacamJumaat digerakkan Alif mendapat sambutan hangat apabila disertai kira-kira 3,000 jemaah.

Loading...
Terkini